Permohonan kebenaran semakan kehakiman kes bunuh Kevin Morais didengar 31 Julai

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Julai ini untuk mendengar permohonan bekas ahli patologi tentera, Kolonel R Kunaseegaran bagi mendapatkan kebenaran untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadapnya atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kevin Morais.
Peguam Jasmine Cheong, yang mewakili Kunaseegaran, memaklumkan Bernama bahawa tarikh pendengaran itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Rohaiza Hamzah.
Pada 1 Julai tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Kunaseegaran bagi kesalahan membunuh Morais.
Mahkamah berkenaan turut mengekalkan sabitan penganggur, S Nimalan, 33, dan pemberi pinjam wang, S Ravi Chandran, 55, namun menggantikan hukuman mati mereka kepada penjara seumur hidup.
Nimalan dihukum penjara 35 tahun dengan 12 sebatan manakala Ravi Chandran dihukum penjara 40 tahun.
Hukuman sebatan tidak dikenakan ke atas Ravi Chandran memandangkan dia berusia lebih 50 tahun.
Panel Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kini bersara), memutuskan bahawa hukuman mati Kunaseegaran kekal kerana dia telah menarik balik rayuan berhubung perkara itu.
Mahkamah itu turut membebaskan tiga lagi individu, iaitu R Dinishwaran, 34; AK Thinesh Kumar, 33, dan M Vishwanath, 36, daripada pertuduhan membunuh.
Morais, 55, telah dilaporkan hilang pada 4 September 2015, dan mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun yang sama.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas keenam-enam lelaki selepas mendapati mereka bersalah membunuh Morais di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 14 Mac 2024, dan Kunaseegaran memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan semula pada 14 November tahun lepas.
Menerusi notis usul, Kunaseegaran memohon agar rayuannya didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan, dan lelaki berusia 63 itu mendakwa mengalami ketidakadilan yang serius serta berhak mendapat perbicaraan yang adil dan sewajarnya. - Bernama
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Julai untuk mendengar permohonan bekas ahli patologi tentera, Kolonel R Kunaseegaran, untuk menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kevin Morais
- Pada 1 Julai tahun lepas, sabitan dan hukuman mati terhadap Kunaseegaran dan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua individu lain dalam kes yang sama telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan
- Nimalan dihukum penjara 35 tahun dengan 12 sebatan sementara Ravi Chandran dihukum 40 tahun tanpa sebatan memandangkan berusia lebih 50 tahun
- Kunaseegaran memohon semakan semula dengan mendakwa mengalami ketidakadilan dan berhak atas perbicaraan yang adil
- Datuk Kevin Morais dilaporkan hilang pada September 2015 dan mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi simen dua minggu kemudian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
