Malaysia Airports tawar bantuan kepada AirAsia

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA Airports akan memudahkan dan memberi sokongan penuh kepada AirAsia semasa proses menaik taraf sistem tempahan Navitaire New Skies, yang dijadualkan pada 2 petang, Sabtu hingga 3 pagi, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pasukan lapangan terbang telah berbincang dengan AirAsia mengenai langkah-langkah untuk mengurangkan beratur yang panjang dan penangguhan penerbangan yang mungkin berlaku semasa proses naik taraf sistem tempahan.

“Kami anggarkan kira-kira 200 penerbangan mungkin terjejas di seluruh negara dan kami juga kenal pasti empat bahagian yang mungkin sangat sesak di lapangan terbang kami. Ia adalah di kaunter daftar masuk, pemeriksaan pas masuk, kaunter imigresen dan pemeriksaan kastam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Raja Azmi berkata, tambahan petugas Duta Airport CARE akan ditempatkan di kawasan sesak yang sensitif ini untuk membantu pengurusan barisan.

Pengendalian bagasi juga mungkin terjejas semasa tempoh ini dan Malaysia Airports akan menawarkan pasukan untuk bersiap sedia membantu pasukan pengendali bagasi AirAsia jika diperlukan, tambah beliau.

Penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini semua platform media sosial Malaysia Airports iaitu Twitter (@MY_Airports), Facebook (@malaysiaairports) dan Instagram (@malaysiaairports).

Semalam, AirAsia dalam kenyataan berkata, semasa tempoh penaiktarafan sistem ini, tempahan penerbangan tidak akan tersedia di laman web AirAsia, aplikasi mudah alih, pejabat jualan AirAsia, kaunter dan pusat panggilan.

Pelanggan juga tidak akan dapat mendaftar masuk melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk di lapangan terbang atau mengurus tempahan mereka sehingga proses naik taraf ini selesai. Semua penumpang yang bakal membuat perjalanan dalam tempoh ini dinasihatkan untuk mendaftar masuk secara dalam talian sebelum tempoh naik taraf ini dan mencetak pas masuk penerbangan, atau mengunakan pas masuk elektronik. - Bernama

Artikel Berkaitan: