Rakyat Malaysia maut, seorang lagi cedera nahas helikopter di Filipina

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu terlibat dalam nahas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina pada pagi Selasa.
Kemalangan itu turut mengorbankan nyawa seorang penumpang warga Filipina selepas helikopter jenis Bell 505 itu dilaporkan melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan tanah kosong kira-kira jam 7.27 pagi.
Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino mengesahkan, identiti mangsa yang maut telah dikenal pasti dan waris mangsa juga telah dimaklumkan.
"Pihak kedutaan sedang memberikan bantuan konsular kepada waris mangsa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan urusan konsular yang diperlukan,” katanya kepada Bernama.
Abdul Malik memaklumkan bahawa warga Malaysia yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.
"Pegawai kedutaan juga telah melawat mangsa yang cedera bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya,” kata beliau.
Terdahulu, Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) sedang menyiasat insiden yang melibatkan pendaratan cemas helikopter Bell 505 itu yang dalam penerbangan dari Manila ke Wilayah Quezon.
"Lembaga Siasatan dan Pertanyaan Kemalangan Pesawat CAAP sedang menjalankan siasatan. Butiran lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja tersedia,” menurut agensi itu.- Bernama
Ringkasan AI
- Seorang rakyat Malaysia maut dan seorang lagi cedera dalam nahas helikopter di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina
- Helikopter Bell 505 yang terlibat dalam nahas dilaporkan melakukan pendaratan cemas
- Kemalangan turut mengorbankan nyawa seorang penumpang warga Filipina
- Duta Besar Malaysia ke Filipina mengesahkan identiti mangsa dan waris telah dimaklumkan
- Pihak kedutaan Malaysia sedang memberikan bantuan konsular kepada waris mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
