Mohamad keluar pejabat SPRM selepas hampir 7 jam dirakam keterangan

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang selepas hampir tujuh jam memberi keterangan pada Selasa.
Kenderaan Toyota Vellfire yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu dilihat keluar dari pekarangan pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah kira-kira jam 3.50 petang.
Bagaimanapun, cubaan media mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila beliau dipercayai menggunakan laluan berbeza untuk meninggalkan premis berkenaan.
Kehadiran Mohamad yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan kerajaan negeri.
Terdahulu, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang tiba di pekarangan SPRM kira-kira jam 9.15 pagi.
Ini merupakan kali kedua beliau hadir memberi keterangan selepas turut berada di pejabat sama hampir tujuh jam pada hari sebelumnya.
Difahamkan, setakat ini beliau tidak lagi diperlukan hadir ke pejabat SPRM.
Beliau juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung proses siasatan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, siasatan itu membabitkan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Kes tersebut mula disiasat selepas isu berkenaan dibangkitkan seorang ADUN pada persidangan Dewan Undangan Negeri hujung tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, SPRM telah memanggil 63 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang bermula sejak pertengahan Januari lalu, termasuk meneliti beberapa akaun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan amalan rasuah.
Ringkasan AI
- Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid memberi keterangan di SPRM Pulau Pinang selama tujuh jam
- Media gagal mendapat reaksi Mohamad kerana keluar melalui laluan berbeza
- Kedatangan Mohamad berkaitan siasatan salah guna dana zakat oleh pegawai kanan kerajaan negeri
- Ini merupakan kedua kali Mohamad hadir di SPRM untuk sama tujuan
- Siasatan SPRM berkaitan penyalahgunaan kuasa pembelian tanah menggunakan dana zakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

