Guru berdepan detik cemas, kereta api rempuh motosikal troli

Kereta api merempuh motosikal troli di Batu 11, Tenom-Pangi.
Kereta api merempuh motosikal troli di Batu 11, Tenom-Pangi.
A
A
A

TENOM - Beberapa guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi berdepan detik cemas apabila kereta api yang mereka naiki dipercayai mengalami masalah brek dan merempuh motosikal troli di Batu 11, Tenom-Pangi, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, semua penumpang dilaporkan selamat, manakala seorang lelaki berusia 58 tahun mengalami kecederaan ringan ketika cuba menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, kereta api tersebut dalam perjalanan dari Tenom menuju ke Kampung Pangi dengan membawa penumpang.

“Bagaimanapun, susulan banjir dan tanah runtuh di pertengahan landasan Tenom-Pangi, perkhidmatan kereta api itu hanya dapat bergerak sehingga ke Batu 11.

“Penduduk yang ingin meneruskan perjalanan ke Kampung Pangi terpaksa menggunakan alternatif lain seperti motosikal troli atau berjalan kaki,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Keadaan motosikal troli yang digunakan penduduk rosak selepas dirempuh kereta api.
Keadaan motosikal troli yang digunakan penduduk rosak selepas dirempuh kereta api.

Menurutnya, ketika kejadian, beberapa motosikal troli milik penduduk diletakkan di landasan untuk menunggu ahli keluarga yang tiba dengan kereta api tersebut.

“Sebaik tiba di Batu 11, kereta api dipercayai hilang kawalan apabila sistem brek tidak berfungsi sebelum melanggar motosikal troli yang berada di landasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Akibat pelanggaran itu, kereta api tergelincir dan turut melanggar empat motosikal. Seorang lelaki yang berada di atas troli dipercayai melompat selepas menyedari kereta api masih meluncur laju walaupun sepatutnya berhenti.

“Mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, menyuarakan kebimbangan beliau terhadap insiden tersebut.

“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah ‘brek gagal berfungsi’ terhadap kereta api yang membawa guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi.

“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di landasan berjaya menghentikan kereta api tersebut.

“Saya memohon dan mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan penuh terhadap perkara ini dan mengambil langkah segera agar peristiwa ini tidak berulang lagi,” katanya.

Selain itu, beliau turut memohon pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom-Pangi yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada awal tahun lalu.

“Saya difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya.

Ringkasan AI

  • Guru SK Pangi mengalami detik cemas apabila kereta api dipercayai mengalami masalah brek dan merempuh motosikal troli di Tenom
  • Seorang lelaki berusia 58 tahun mengalami kecederaan ringan dalam insiden tersebut
  • Kereta api dalam perjalanan dari Tenom ke Kampung Pangi terpaksa berhenti akibat banjir dan tanah runtuh
  • Penduduk menggunakan motosikal troli sebagai alternatif untuk meneruskan perjalanan ke Kampung Pangi
  • ADUN Melalap memohon siasatan penuh dari Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan mendesak projek jalan raya Tenom-Pangi dimulakan segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!