Peminat bola boleh tarik nafas lega, Stadium Perak dibuka September

IPOH - Stadium Perak kembali dibuka kepada perlawanan bola sepak sekitar September depan selepas projek naik taraf padang yang sedang dilaksanakan kini memasuki fasa akhir.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, projek naik taraf padang stadium yang bermula pada Jun 2025 itu telah mencapai 75 peratus kemajuan fizikal.
Menurutnya, kerja-kerja berkenaan mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal susulan pelaksanaan kerja tambahan melibatkan sistem pengairan, penyelarasan teknikal dan faktor cuaca.
"Pemasangan sistem pengairan baharu, sistem saliran serta penanaman rumput baharu ini kita jangka siap sekitar April.
“Selepas itu, padang memerlukan tempoh pematangan rumput kira-kira tiga hingga empat bulan sebelum ia boleh digunakan secara optimum.
"Jadi kita jangka sekitar September, stadium ini boleh dibuka semula untuk perlawanan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau keadaan padang di Stadium Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Jabatan Taman dan Landskap MBI, LAr Mohd Nazim Mohamed Nor.

Sandrea berkata, kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM1.2 juta hasil kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta sumbangan tambahan daripada Kerajaan Negeri Perak.
Katanya, MBI turut meluluskan tambahan peruntukan RM413,000 bagi pemasangan sistem siraman automatik jenis pop-up sprinkler yang tidak termasuk dalam skop asal projek bagi memastikan siraman air lebih sekata dan konsisten di seluruh permukaan padang.
"Pemasangan ini perlu dilakukan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelak risiko kerosakan struktur padang dan kos pembaikan pada masa hadapan.
"Sebelum ini kaedah siraman dilakukan secara manual dan bergantung pada tenaga kerja, keadaan ini menyebabkan pengagihan air kurang konsisten," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pemasangan rumput Axonopus Putra di Stadium Perak berbanding cadangan asal menggunakan rumput Zeon Zoysia diyakini pilihan tepat dengan melihat kepada kajian kes yang berlaku di negeri lain antaranya di Terengganu.
Ujarnya, struktur rumput yang lebih halus dan rapat membolehkan pergerakan bola menjadi lebih laju selain memudahkan kerja penyelenggaraan berbanding spesies rumput yang digunakan sebelum ini.
Stadium Perak ditutup bermula hujung Oktober 2024 dan sepanjang tempoh itu perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Perak FC diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Stadium Manjung).
Ringkasan AI
- Stadium Perak akan dibuka semula pada september depan setelah menjalani projek naik taraf
- Projek naik taraf bermula pada Jun 2025 dan kini telah mencapai 75 peratus kemajuan fizikal
- Kerja naik taraf melibatkan pemasangan sistem pengairan baharu dan penanaman rumput baharu
- Majlis Bandaraya Ipoh meluluskan tambahan peruntukan RM413,000 untuk sistem siraman automatik
- Pemasangan rumput Axonopus Putra dianggap pilihan yang tepat untuk kondisi pergerakan bola yang lebih laju
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

