Inisiatif 'BSN Care Cukup Bersama' ringankan beban pengamal media

Dari kiri: Muhammad Aminnuraliff, Jay Khairil dan Khairil Anwar pada majlis penyerahan sumbangan 'BSN Care Cukup Bersama' serta tayangan Perdana Video Raya BSN bertajuk 'Lebih Dari Cukup' pada Isnin.
Dari kiri: Muhammad Aminnuraliff, Jay Khairil dan Khairil Anwar pada majlis penyerahan sumbangan 'BSN Care Cukup Bersama' serta tayangan Perdana Video Raya BSN bertajuk 'Lebih Dari Cukup' pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Malaysia (BSN) menerusi inisiatif 'BSN Care Cukup Bersama' sempena Ramadan dan Aidilfitri menyalurkan sumbangan kewangan serta barangan keperluan kepada 11 pengamal media terpilih yang memerlukan sokongan.

Selaku rakan strategik, warga media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan penghargaan ini dizahirkan sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan komuniti media.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BSN menyantuni komuniti sekali gus mencerminkan komitmen dalam memupuk nilai keprihatinan dan kebersamaan selaras dengan tema perayaan BSN bagi tahun 2026, 'Cukup Bersama'.

"'Cukup Bersama' dipilih sebagai tema pada tahun ini kerana 'cukup' bukan hanya soal angka. Ia juga bukan tentang berapa banyak yang kita ada, tetapi sejauh mana kita bersyukur dan berkongsi rezeki itu bersama.

"Melalui inisiatif BSN Care, kami berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban penerima serta memberi sokongan moral agar mereka dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan lebih tenang dan bermakna," katanya pada majlis penyerahan sumbangan 'BSN Care Cukup Bersama' serta tayangan perdana video raya BSN bertajuk 'Lebih Daripada Cukup' di Wisma BSN pada Isnin.

Tambah Jay Khairil, bantuan tunai dan keperluan asas yang dihulurkan adalah bertepatan dengan bulan Ramadan dan diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu membuat persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Pada majlis berkenaan, 11 penerima terpilih daripada pelbagai organisasi media termasuk Sinar Harian, Harian Metro, NSTP, NST, TV9, TV3, NTV7 dan RTM menerima sumbangan wang tunai RM3,000 serta Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas.

Seramai 11 pengamal media terpilih menerima sumbangan tunai dan barangan keperluan menerusi inisiatif 'BSN Care Cukup Bersama' sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Seramai 11 pengamal media terpilih menerima sumbangan tunai dan barangan keperluan menerusi inisiatif 'BSN Care Cukup Bersama' sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Turut dipertontonkan video raya pendek 'Lebih Daripada Cukup' (#CukupBersama) yang menampilkan pelakon veteran Jalil Hamid bersama Syazwan Zulkifli dan Khatijah Tan.

Berlatarbelakangkan suasana kampung di Kuala Kangsar, video ini menyampaikan mesej kesederhanaan, kesyukuran dan semangat berkongsi selaras dengan visi BSN untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.

Salah seorang penerima, Khairil Anwar Mohd Amin dari Sinar Harian yang menghidap penyakit untut, menzahirkan rasa terima kasih dan syukur atas bantuan yang dihulurkan BSN menerusi inisiatif 'BSN Care Cukup Bersama'.

"Terima kasih atas sumbangan yang diberikan BSN kepada kami warga media. Jika sebelum ini kami melaporkan tentang kesusahan hidup rakyat, kali ini kami pula yang dibantu dan dihargai.

"Saya berharap usaha murni BSN ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai dapat dibantu," katanya.

Sementara itu, Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki, juga dari Sinar Harian berkata, sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membeli keperluan berkaitan penyakit diabetes yang dihidapinya seperti suplemen khas bagi mengawal paras gula.

"Sumbangan ini akan saya gunakan sebaik mungkin dan sekali lagi terima kasih BSN atas sumbangan yang dihulurkan," katanya.

Ringkasan AI

  • BSN menyalurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan kepada 11 pengamal media yang memerlukan
  • Sumbangan itu sebahagian daripada usaha BSN menyantuni komuniti dan mencerminkan nilai keprihatinan
  • Tema 'Cukup Bersama' dipilih untuk menyatakan pentingnya bersyukur dan berkongsi rezeki
  • Sebelas penerima dari pelbagai organisasi media menerima sumbangan wang tunai RM3,000 dan barangan keperluan asas
  • Inisiatif ini bertujuan meringankan beban dan memberi sokongan moral kepada penerima menjelang Aidilfitri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!