Isu dokumen palsu pemain warisan: TMJ gesa kumpul bukti, lapor pihak berkuasa

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa semua pihak agar mengumpul segala bukti berhubung isu dakwaan penipuan dokumen pemain warisan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Menurut baginda, tindakan berlandaskan undang-undang dengan menggunakan fakta dan bukti yang sahih adalah lebih berkesan berbanding sekadar melemparkan teori semata-mata.
"Inilah pentingnya kita menggunakan segala bukti dan fakta yang ada dan serahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang.
"Bukan setakat teori. Kumpul semua bukti yang ada beramai-ramai demi bola sepak tanah air," titah baginda menerusi satu hantaran balas di laman aplikasi X.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian sebagai memberikan respons kepada hantaran sebuah akaun X, Youth Football Malaysia yang membangkitkan kebimbangan mengenai polemik serta kepincangan dalam industri bola sepak negara ketika ini.
Laman berkenaan menyuarakan keluhan mengenai beberapa isu 'kronik' yang disifatkan sukar untuk dirawat berbanding isu-isu asas pembangunan sukan tersebut.
Menurut hantaran Youth Football Malaysia itu, pihaknya bersetuju bahawa isu-isu asas seperti keadaan padang, pusat latihan, pertandingan dan akademi sememangnya sedang dalam proses penambahbaikan dan masih mempunyai jalan penyelesaian.
"Banyak pasukan sedang berusaha semampunya. Isu-isu ini ada ubatnya. Yang susah hendak cari ubat ialah isu-isu (seperti) penipuan dokumen, penipuan pengadilan, penipuan pengurusan liga dan penipuan kontrak," tulis laman berkenaan.
Sebelum ini, FIFA menjatuhkan hukuman kepada tujuh pemain warisan negara selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen.
FAM terlebih dahulu membuat rayuan di FIFA namun ditolak dan kemudiannya mengemukakan kes tersebut ke CAS dan sedang menunggu keputusan selepas perbicaraan selesai baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pengumpulan bukti isu penipuan dokumen pemain warisan
- Tindakan harus berlandaskan undang-undang dengan bukti yang sahih
- Segala bukti hendaklah diserahkan kepada agensi-agensi kerajaan untuk siasatan
- Titah berkenaan diberikan respons kepada hantaran Youth Football Malaysia tentang kebimbangan dalam industri bola sepak
- FIFA telah menjatuhkan hukuman kepada tujuh pemain warisan negara atas kesalahan pemalsuan dokumen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
