Kaunter duti setem seluruh negara dibuka esok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi kaunter duti setem di 34 Pejabat Setem Cawangan (PSC) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) seluruh negara akan dibuka mulai esok.

LHDNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembukaan kaunter tersebut bagi memastikan kelancaran urusan mereka yang memerlukan khidmat berkaitan duti setem.

LHDNM melalui kenyataannya berkata, waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan kaunter ditutup pada Sabtu serta Ahad manakala bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor tutup pada Jumaat dan Sabtu.

"Bagaimanapun, kaunter duti setem di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan UTC Johor kekal ditutup sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan keutamaan diberikan kepada urusan duti setem melibatkan individu dan orang awam yang tiada ID pengguna STAMPS selain bagi pembayaran duti setem ke atas notis taksiran yang tidak boleh dibuat secara dalam talian.

"Bilangan dokumen dihadkan kepada tiga sahaja pada satu-satu masa. Pembayar duti atau pembawa dokumen dikehendaki mematuhi setiap peraturan PKP dan penjarakan sosial ketika berurusan," katanya.

Dalam kenyataan sama, LHDNM memaklumkan hanya lima hingga 10 pembayar duti atau pembawa dokumen dibenarkan masuk ke kawasan kaunter pada satu masa bergantung kepada keluasan ruang kaunter PSC.

Katanya, selain individu dan orang awam pula boleh membuat penyeteman dalam talian melalui STAMPS di https://stamps.hasil.gov.my.

Artikel Berkaitan:

"Ejen atau wakil yang mempunyai ID STAMPS diwajibkan untuk mengemukakan permohonan penyeteman dan pembayaran secara dalam talian melalui STAMPS.

"Pembayar duti, syarikat, agensi yang tiada keperluan mendesak untuk urusan duti setem diminta menangguhkan urusan sehingga tempoh PKP tamat.

"LHDNM telah memberikan lanjutan masa sehingga 30 April 2020 ke atas semua permohonan taksiran dan bayaran duti setem termasuk duti kompaun yang sepatutnya disetemkan atau dibayar pada 18 Mac hingga 29 April 2020 tanpa dikenakan penalti," katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh menghubungi HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-89111100 (luar negara) selain melalui HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM.