X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar rugi RM4,750 ditipu 'polis'

Mohd Wazir Mohd Yusuf
A
A

KUANTAN - Seorang pelajar kerugian RM4,750 selepas mengemaskini maklumat akaun banknya melalui pautan laman web bank palsu yang diberikan seorang lelaki yang menyamar pegawai polis semalam.

Pelajar wanita berusia 22 tahun itu mendakwa dia diarah berbuat demikian bagi mengelak ditahan reman selama 45 hari untuk siasatan selepas dimaklumkan dia dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Mangsa yang panik akur dengan arahan lelaki itu apabila memasukkan nombor kad bank, nombor pin dan nombor kad pengenalan melalui pautan yang diberikan kononnya untuk siasatan pihak Bank Negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, sebelum itu, suspek memberitahu mangsa bahawa terdapat bungkusan berisi kad pengenalan dan kad bank atas namanya telah ditahan di Pejabat Pos Kuantan.

Menurutnya, selepas mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan tersebut, panggilan disambung kepada seorang pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi tujuan semakan.

"Mangsa dimaklumkan dia dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes pengubahan wang haram berdasarkan kepada semakan dan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi menyelesaikan kes itu mangsa diarahkan mengemaskini akaun bank melalui pautan diberikan dan selepas berbuat demikian. Mangsa mula curiga lalu segera ke bank untuk membuat semakan sebelum mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM4,750 telah dikeluarkan pihak tidak dikenali," katanya.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!