Permohonan keluar wang akaun dua KWSP bermula hari ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memohon Skim Pengeluaran Wang Akaun 2 i-Lestari bermula hari ini, menerusi i-Akaun (Ahli) selaras dengan langkah kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KWSP berkata, susulan lanjutan PKP, semua cawangan KWSP dan Pusat Urusan Perhubungan akan terus ditutup sehingga 14 April.

"Susulan itu, ahli boleh log masuk atau berurusan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun atau emel menerusi saluran berikut bagi isu masing-masing.

1. Pertanyaan mengenai i-Lestari, pengeluaran wang: ilestari@epf.gov.my

2. Penghantaran i-Lestari, borang permohonan pengeluaran wang: ilestarimohon@epf.gov.my

3. Penghantaran i-Akaun, borang pendaftaran: iakaundaftar@epf.gov.my

4. Penghantaran borang bagi meneruskan kadar sumbangan pekerja pada 11 peratus: ve2020@epf.gov.my

5. Pertanyaan berhubung lain-lain perkhidmatan KWSP: https://www.kwsp.gov.my/reach-us/connect-with-us/make-an-enquiry

Artikel Berkaitan:

Sementara itu KWSP turut mengingatkan bahawa ahli mempunyai tempoh masa seluruh April untuk menghantar permohonan, bagi membolehkan mereka menerima bayaran pengeluaran wang secara bulanan bermula bulan Mei.

"Bagi permohonan yang diterima selepas tarikh itu, bayaran pengeluaran akan bermula pada bulan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat tambahan mengenai i-Lestari, ahli boleh merujuk kepada bahagian "soalan yang sering ditanya” (FAQ) di https://www.kwsp.gov.my/en/faq-i-lestari. - Bernama