Harimau Selatan masih perlu baiki penyudah

Xisco Munoz Foto: Bernama
Xisco Munoz Foto: Bernama
A
A
A

 

 

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz mengakui Harimau Selatan berdepan cabaran pada awal minit perlawanan ketika pertemuan menentang Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

 

 

“Permulaan perlawanan agak sukar kerana pertahanan yang ampuh dan menutup ruang untuk melakukan serangan.

 

 

“Namun, selepas dua gol dijaringkan, kami mempunyai lebih banyak peluang dan dapat menguasai permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Harimau Selatan sebelum itu meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Imigresen 5-0 di laman sendiri.

Walaupun menguasai bola dan mencipta banyak peluang, Munoz berkata pasukannya masih perlu memperbaiki penyudah.

 

 

Namun, jurulatih dari Sepanyol itu memuji semua pemain termasuk Hector Hevel dan beberapa pemain utama seperti Joao Figueiredo yang kembali beraksi, namun masih perlu berhati-hati untuk menurunkan mereka memandangkan mereka baharu pulih daripada kecederaan.

 

 

Menjelang perlawanan seterusnya, Munoz berkata penting untuk mengekalkan fokus dan intensiti ketika JDT berdepan jadual perlawanan padat, dengan lapan perlawanan dalam tempoh 28 hari termasuk komitmen peringkat benua.

 

 

“Penggiliran pemain amat penting kerana mustahil untuk pemain mengekalkan prestasi terbaik dengan jadual perjalanan yang padat.

 

 

“Sasaran kami sentiasa tiga mata. Apabila anda menyarung jersi JDT, objektifnya adalah untuk menang dan kekal di puncak. Kami mesti mengekalkan keazaman dan kekuatan serta terus meningkatkan prestasi pasukan setiap hari,” katanya.

 

 

Sementara itu, pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah berkata walaupun The Mighty Tigers berjaya bertahan dengan baik pada separuh masa pertama, keupayaan untuk mengekalkan intensiti sepanjang 90 minit menjadi cabaran utama.

 

 

“Kami memang menjangkakan kekalahan, namun sasaran kami adalah untuk mengurangkan jumlah jaringan bolos kerana perbezaan gol akan diambil kira dalam kedudukan liga nanti. Sekurang-kurangnya kami berjaya mendapatkan dua gol,” katanya.

 

 

Yusri turut mengakui faktor keletihan jelas menjejaskan tumpuan pemainnya, selain membuka ruang kepada lawan untuk menjaringkan lebih banyak gol.

 

 

“Meskipun pasukannya berpeluang mencipta beberapa peluang berbahaya, namun kegagalan memanfaatkannya mengundang padah.

 

 

“Musim ini merupakan penampilan sulung Imigresen FC dalam Liga Super dan kami perlu bangkit segera,” katanya. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Pengendali JDT, Xisco Munoz, mengakui cabaran pada awal perlawanan menentang Imigresen FC
  • Permulaan sukar tetapi JDT menguasai permainan setelah menjaringkan dua gol
  • Pasukan masih perlu perbaiki penyudah walaupun menguasai bola dan mencipta peluang
  • Penting untuk menggilir pemain dan mengekalkan fokus menghadapi jadual padat
  • Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah, mengakui kekalahan tetapi berusaha mengurangkan jumlah gol bolos

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!