Mercun jualan Tahun Baharu Cina dirampas

SITIAWAN – Pasukan Polis Marin Wilayah Satu berjaya merampas pelbagai jenis mercun dipercayai untuk jualan sempena Tahun Baharu Cina yang dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang, di sini pada Selasa.
Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 4 petang itu hasil maklumat awam yang diterima semasa pelaksanaan Op Taring Landai oleh pasukan Polis Marin Kampung Acheh.
Menurutnya, serbuan dilakukan oleh Unit Risikan Marin Wilayah Satu itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun bersama beberapa kotak mercun yang ditemui di ruang dapur rumah berkenaan serta di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace miliknya.
"Suspek mengaku tidak memiliki sebarang lesen sah untuk memiliki atau menyimpan mercun terbabit.
"Lelaki berkenaan turut mengaku menjadikan rumah tersebut sebagai stor penyimpanan mercun sejak dua minggu lalu untuk dijual di pasaran sekitar Sitiawan sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jaffri berkata, antara jenis mercun yang dirampas ialah ‘happy bom red cracker’, ‘happy boom assorted celebration cake repeater’, ‘happy boom shoot cake’ dan ‘happy boom celebration red fire cracker’.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM105,400, termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace.
Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk dokumentasi sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi siasatan lanjut di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada orang awam bagi membanteras kegiatan penjualan mercun secara haram.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi Hotline Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh di talian 05-691 6999.
Ringkasan AI
- Pasukan Polis Marin Wilayah Satu berjaya merampas pelbagai jenis mercun di Sitiawan
- Operasi dilakukan berdasarkan maklumat awam semasa pelaksanaan Op Taring Landai
- Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan bersama kotak mercun di rumah dan dalam kenderaannya
- Mercun tersebut disimpan untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina tanpa lesen sah
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM105,400 termasuk kenderaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

