Schumacher tidak lagi terlantar di katil

LEGENDA Formula Satu (F1), Michael Schumacher dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi terlantar di katil, kira-kira 12 tahun selepas kemalangan ski ngeri yang mengubah hidupnya pada 2013.
Maklumat mengenai tahap kesihatan juara dunia tujuh kali itu kekal terhad sejak beliau mengalami kecederaan kepala serius ketika bercuti di Pergunungan Alps, Perancis.
Namun, sumber yang dipetik media antarabangsa memaklumkan Schumacher kini mampu duduk di atas kerusi roda.
Bekas pelumba berusia 57 tahun itu masih menerima penjagaan rapi sepanjang masa oleh isterinya, Corinna Schumacher bersama pasukan perubatan khas.
Keadaan terbaharu itu membolehkan Schumacher dibawa keluar menggunakan kerusi roda di sekitar kediamannya di Majorca serta hartanah keluarga berhampiran Tasik Geneva.
Sejak kemalangan tersebut, Schumacher tidak pernah muncul di khalayak awam, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tahap keupayaannya berkomunikasi.
Bagaimanapun, sumber rapat keluarga menafikan dakwaan beliau hanya mampu memberi reaksi melalui kelipan mata.
“Dia memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, walaupun tidak semuanya,” kata salah seorang sumber.
Sebelum ini, timbul khabar angin Schumacher akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, Gina-Maria pada 2024, namun perkara itu tidak berlaku.
Tahun lalu, tiga bekas pekerja keluarga Schumacher disabitkan kesalahan selepas mengugut untuk mendedahkan gambar peribadi Schumacher dalam keadaan semasa.
Awal bulan ini, Gina-Maria berkongsi foto lama keluarga sebelum kemalangan itu sempena ulang tahun kelahiran bapanya dengan kapsyen penuh emosi: “Yang terbaik untuk selamanya. Selamat hari lahir, papa.”
Schumacher sebelum ini berada dalam koma di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan, namun tempoh itu berlanjutan selama 250 hari.
Selepas sedar pada Jun 2014, beliau dibenarkan keluar dari hospital dan meneruskan rawatan di rumah.
Pada 2019, beliau dilaporkan menjalani rawatan terapi sel stem yang dikendalikan pakar kardiologi terkenal Perancis, Dr Philippe Menasché, dengan tujuan membantu pemulihan sistem saraf.
Selepas rawatan itu, Schumacher dikatakan berada dalam keadaan sedar, meskipun butiran lanjut terus dirahsiakan demi privasi keluarga.
Ringkasan AI
- Michael Schumacher menunjukkan perkembangan positif dan tidak lagi terlantar di katil selepas kemalangan ski pada 2013
- Schumacher kini mampu duduk di atas kerusi roda dan menerima penjagaan rapi dari isteri dan pasukan perubatan
- Beliau boleh dibawa keluar menggunakan kerusi roda di sekitar kediamannya di Majorca dan hartanah berhampiran Tasik Geneva
- Keluaran terbaharu menafikan dia hanya mampu berkomunikasi melalui kelipan mata, memahami sebahagian perkara sekeliling
- Schumacher menjalani rawatan terapi sel stem pada 2019 untuk membantu pemulihan sistem saraf dan dikatakan berada dalam keadaan sedar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

