Penuntut universiti didakwa mabuk, rempuh palang keselamatan pintu Istana Negara

Kemalangan berlaku di Pintu 2, Istana Negara, mengakibatkan kerosakan pada 'bollard pole' dan 'barrier gate'.
Kemalangan berlaku di Pintu 2, Istana Negara, mengakibatkan kerosakan pada 'bollard pole' dan 'barrier gate'.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol hingga merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara.

Mengikut pertuduhan, M Kajen, 22, didakwa memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol dalam badan 166 milligram (mg) per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan di Pintu 2, Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, di sini, kira-kira 3.50 pagi Jumaat dan didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun serta hilang kelayakan lesen hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan minimum kerana masih menyambung pengajian dalam peringkat ijazah selain bukan berasal daripada keluarga yang berpendapatan tinggi. 

Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 3.30 pagi semasa lelaki berusia 21 tahun itu memandu Toyota Vios dari arah Bukit Damansara. 

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu yang menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan bollard pole serta barrier gate. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang penuntut universiti swasta di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk
  • Memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol melebihi had dibenarkan
  • Kemalangan berlaku di Pintu 2, Istana Negara, mengakibatkan kerosakan pada bollard pole dan barrier gate
  • Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 dan tarikh sebutan kes ditetapkan pada 26 Februari
  • Kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!