Siap sedia terima pekerja remaja 17 tahun

PENSTRUKTURAN semula sistem pendidikan negara bakal menyaksikan fasa baharu pasaran tenaga kerja dan undang-undang buruh dengan kesiapsiagaan majikan menerima pekerja remaja.
Pelajar yang meninggalkan sekolah menengah pada usia 16 tahun akan meneruskan perjalanan hidup menerusi dua laluan utama.
Golongan yang mementingkan dunia akademia akan melangkah ke universiti lebih awal manakala mereka yang cenderung mencari duit sendiri, akan berada di tempat kerja pada usia 17 tahun.
Situasi ini menuntut majikan bersedia untuk menghadapi perubahan tersebut yang dijangka berlaku dalam tempoh 13 tahun lagi.
Tenaga kerja remaja memiliki keupayaan belajar tinggi dan adaptasi pantas, namun masih memerlukan perlindungan serta sokongan psikososial.
Tanpa kerangka yang jelas, risiko eksploitasi, ketidakpadanan peranan dan tekanan kerja awal boleh merencatkan potensi generasi itu.
Kerajaan pasti akan meminda akta pekerjaan untuk kelayakan bekerja pada usia 17 tahun selari dengan perubahan kemasukan ke Tahun Satu seawal usia enam tahun. Langkah itu bukan satu eksperimen memandangkan 143 negara lain telah lama memulakan pendidikan rendah pada usia tersebut.
Malah perkembangan kognitif kanak-kanak hari ini jauh lebih pantas, yang dipacu oleh pendedahan awal kepada teknologi, persekitaran pembelajaran interaktif dan pendekatan pedagogi moden.
Guru prasekolah pula bakal memikul tanggungjawab besar bagi menilai kesediaan murid lima tahun untuk melangkah ke sekolah rendah. Penilaian menyeluruh merangkumi aspek akademik, emosi dan sosial dapat memastikan proses peralihan itu menepati kelayakan ditetapkan pihak kementerian.
Tidak dinafikan, peringkat awal pelaksanaan akan mengundang pelbagai reaksi awam seperti mana ketika penyasaran subsidi petrol BUDI95 dilakukan sebelum ini. Namun pengalaman membuktikan bahawa keresahan itu tidak lama dan reda selepas sesuatu dasar berjalan dengan beberapa penambahbaikan.
Maka reformasi pendidikan ini menuntut perubahan minda kolektif kerana pelaburan pendidikan bakal menyaksikan pemindahan kemahiran lebih awal untuk sumbangan tenaga kerja lebih panjang, jika had umur bersara kekal 60 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
