Kastam Pulau Pinang rampas rokok, minuman keras lebih RM21 juta

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras dianggar bernilai RM21.88 juta termasuk cukai susulan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di beberapa lokasi di Seberang Perai, 19 Disember lepas.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, dalam operasi hasil maklumat dan intipan itu, pihaknya turut menahan tiga pemandu lori warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an bagi membantu siasatan, selain menyita ketiga-tiga kontena bersama lori yang digunakan.
"Kontena pertama ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dan hasil pemeriksaan menemukan 73,200 tin minuman keras jenis bir bernilai RM631,075.50 termasuk duti kastam.
"Pemeriksaan ke atas kontena kedua dan ketiga di sebuah gudang masing-masing di Sungai Jawi dan Perai pula menemukan lebih 20 juta batang rokok pelbagai jenama dianggar bernilai lebih RM21.24 juta termasuk duti kastam,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Perai, di sini hari ini.
Rohaizad berkata, siasatan awal mendapati semua kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) dari Singapura dan gagal membuat pengisytiharan terhadap barangan yang dibawa.
"Kesemua rokok dan minuman keras itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Ujarnya, rokok dan minuman keras itu diklasifikasikan sebagai barangan larangan import dan individu terlibat sedang dikenal pasti termasuk kemungkinan wujud penglibatan orang dalam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - Bernama
Ringkasan AI
- JKDM Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras bernilai RM21.88 juta di Seberang Perai
- Tiga pemandu lori tempatan ditahan untuk siasatan
- Kontena pertama dengan minuman keras jenis bir bernilai RM631,075.50 ditemukan di R&R Sungai Bakap
- Lebih 20 juta batang rokok dianggar bernilai lebih RM21.24 juta ditemukan dalam kontena kedua dan ketiga
- Barang-barang tersebut gagal membuat pengisytiharan dan dipercayai untuk pasaran tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
