Prestasi ekonomi Malaysia 2025 lepasi sasaran kerajaan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Ekonomi Malaysia menutup tirai 2025 dengan prestasi lebih kukuh daripada sasaran kerajaan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 4.9 peratus bagi keseluruhan tahun.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, peratusan itu melepasi julat unjuran rasmi antara 4.0 hingga 4.8 peratus, sekali gus memberi momentum positif menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bermula tahun ini.
"Lonjakan aktiviti ekonomi pada tiga bulan terakhir 2025 memperlihatkan rentak pertumbuhan yang semakin rancak, didorong terutamanya oleh pengukuhan permintaan domestik serta peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan," kataya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, pencapaian itu membuktikan keberkesanan hala tuju dan strategi Ekonomi Madani dalam mendepani cabaran global serta menstruktur semula ekonomi sambil mengekalkan permintaan domestik yang mampan.
“Prestasi ini adalah hasil pelaksanaan strategik lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi sepanjang RMK12 yang menyumbang kepada pertumbuhan kukuh negara,” kata Akmal.
Menurutnya, analisis awal menunjukkan pengukuhan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh peningkatan aktiviti sektor perkhidmatan dan pembuatan yang lebih rancak pada suku terakhir tahun lalu.
Selain itu, program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
Bagi tempoh RMK12 iaitu tahun 2021 hingga 2025, pertumbuhan KDNK dianggarkan 5.2 peratus setahun melepasi anggaran awal pencapaian seperti yang dinyatakan dalam dokumen RMK13.
"Tahun 2026 merupakan permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited dalam memastikan setiap inisiatif diterjemah kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat secara keseluruhan.
"Kerajaan yakin negara berada pada landasan tepat untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani melalui RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030," katanya.
Ringkasan AI
- Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2025, melebihi julat unjuran rasmi
- Momentum positif ini didorong oleh peningkatan permintaan domestik serta sektor perkhidmatan dan pembuatan
- Pelaksanaan lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi di bawah RMK12 menyumbang kepada prestasi ekonomi
- Pengukuhan permintaan domestik dan aktiviti sektor perkhidmatan serta pembuatan menjadi pemacu utama pertumbuhan
- Program bantuan tunai bersasar seperti STR dan SARA meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti ekonomi secara keseluruhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

