Kemalangan kereta api laju di Sepanyol: Belum ada pengesahan penglibatan rakyat Malaysia

Sekurang-kurangnya 21 orang disahkan maut dan lebih 100 cedera selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung berhampiran Adamuz, wilayah Córdoba di selatan Sepanyol pada Ahad. Foto: AFP
Sekurang-kurangnya 21 orang disahkan maut dan lebih 100 cedera selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung berhampiran Adamuz, wilayah Córdoba di selatan Sepanyol pada Ahad. Foto: AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar memaklumkan belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai penglibatan warganegara Malaysia dalam insiden pelanggaran membabitkan dua buah kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol.

Menerusi kenyataan, kementerian menjelaskan Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Sepanyol di Córdoba serta pihak pengendali kereta api yang terlibat.

"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Madrid ingin memaklumkan bahawa pihak kementerian sedang memantau rapat perkembangan insiden ini," katanya pada Isnin.

Sehubungan itu, warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid menerusi di talian +(34) 915550684 / +(34) 915550737 atau talian kecemasan +(34) 659894943 atau e-mel: mwmadrid@kln.gov.my

"Kementerian terus memantau perkembangan insiden ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini dari masa ke masa," ujar kenyataan itu.

Dalam insiden yang berlaku petang Ahad, sekurang-kurangnya 21 orang disahkan maut dan lebih 100 cedera selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung berhampiran Adamuz, wilayah Córdoba di selatan Sepanyol.

Kemalangan berlaku apabila sebuah tren beroperasi oleh Iryo dari Málaga ke Madrid tergelincir dari landasan melintasi ke landasan bertentangan dan melanggar tren Renfe yang datang dari Madrid ke Huelva menyebabkan kedua-dua tren turut tergelincir.

Pihak berkuasa kereta api Sepanyol, Adif, serta sumber polis menegaskan angka korban dijangka mungkin meningkat sementara usaha penyelamatan dan evakuasi mangsa terus dijalankan dengan sokongan perkhidmatan kecemasan tempatan.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Luar memaklumkan tiada pengesahan penglibatan warganegara Malaysia dalam insiden perlanggaran kereta api di Sepanyol
  • Kedutaan Besar Malaysia di Madrid dalam kontak rapat dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api
  • Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid
  • Kementerian Luar memantau perkembangan insiden secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini
  • Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan lebih 100 cedera selepas dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung di Córdoba, Sepanyol

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!