Jerat burung, jual di media sosial

BANTING - Sebuah rumah di Bandar Sri Ehsan di sini yang dipercayai menjadi tempat menyimpan pelbagai spesies burung dilindungi hasil pemburuan haram untuk dijual secara dalam talian dibongkar pada Jumaat lepas.
Kegiatan itu dikesan sepasukan Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah itu dijalankan kira-kira jam 4.15 petang.
"Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun telah ditahan.
"Pemeriksaan lanjut menemui 25 ekor burung merbah luris leher, dua ekor murai batu selain tindakan sitaan tujuh unit sangkat pelbagai saiz serta satu telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM295,000," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperolehi burung dengan cara memasang jebak di kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Tambah Abdul Kadir, pihaknya percaya suspek turut menjalankan aktiviti menjual burung-burung di media sosial berdasarkan permintaan.
"Suspek merupakan pemikat burung dan disyaki aktif menjual burung di media sosial sejak 2023," ujarnya.
Tegasnya, lelaki terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan kes disiasat Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].
Ringkasan AI
- BANTING - Rumah di Bandar Sri Ehsan yang dipercayai tempat simpan spesies burung dilindungi dari pemburuan haram dibongkar
- Kegiatan dikesan oleh Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Perhilitan dan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK)
- Operasi Bersepadu Khazanah dijalankan, seorang lelaki tempatan 33 tahun ditahan
- Pemeriksaan temui 25 ekor burung merbah luris leher, dua ekor murai batu dan barang sitaan bernilai RM295,000
- Suspek dipercayai menjual burung hasil jebak di Kuala Lumpur dan Selangor di media sosial sejak 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
