Tandas Jepun boleh periksa kesihatan melalui najis

TOKYO - Terkenal dengan produk inovatif mereka, pengeluar tandas Jepun telah memperkenalkan teknologi analisis najis baharu pada produk mereka dalam usaha untuk menarik pembeli yang mementingkan kesihatan, lapor Kyodo News.
Toto Ltd. melancarkan dua model baharu siri Neorest mewah pada Ogos, yang dilengkapi dengan modul sensor di dalam mangkuk tandas yang mengimbas bahan buangan menggunakan peranti dilengkapi LED untuk mengukur bentuk, jumlah dan warna.
Produk pertama seumpamanya yang direka untuk kegunaan rumah di Jepun, sistem tersebut mengklasifikasikan bentuk dan kekerasan najis kepada tujuh kategori, manakala jumlah dan warna direkodkan dalam tiga tahap.
Pengguna boleh memantau status najis mereka melalui aplikasi telefon pintar dan juga menerima nasihat pemakanan berdasarkan analisis pergerakan usus mereka, seperti cadangan untuk meningkatkan pengambilan sayur-sayuran.
Produk baharu ini bertujuan untuk membantu pengguna "menjadikan tabiat tandas harian sebagai gerbang kepada kesihatan yang lebih baik," kata seorang pegawai syarikat.
Sementara itu, Panasonic Corp. membangunkan peranti dinamakan Toirepo untuk kemudahan penjagaan kejururawatan, yang merekodkan masa, kekerapan dan jumlah perkumuhan penghuni dengan sensor yang dipasang pada tandas.
Memandangkan pemeriksaan kendiri konvensional boleh menjadi sesuatu yang kurang menyenangkan bagi penghuni dan kakitangan kemudahan, peranti baharu itu telah diterima baik, katanya.
Industri tandas Jepun dikenali kerana telah membangunkan pelbagai produk untuk memenuhi keperluan sosial yang berubah-ubah, seperti tandas bidet yang memfokuskan kepada kebersihan dan keselesaan selepas bilik air gaya barat menjadi arus perdana di negara itu, diikuti oleh reka bentuk penjimatan air apabila kesedaran alam sekitar meningkat kemudiannya.
"Produk ini lahir daripada minda yang sangat ingin tahu," kata Tsutomu Yamada, seorang penganalisis pasaran di Mitsubishi UFJ eSmart Securities Co., sambil menambah bahawa industri itu masih mempunyai ruang untuk pengembangan lanjut. - Bernama-Kyodo
Ringkasan AI
- Pengeluar tandas Jepun memperkenalkan teknologi analisis najis untuk menarik pembeli yang mementingkan kesihatan
- Toto Ltd melancarkan dua model siri Neorest yang mengimbas bahan buangan guna LED untuk mengukur bentuk, jumlah dan warna
- Sistem inovatif ini mengklasifikasi bentuk dan kekerasan najis kepada tujuh kategori dan jumlah serta warna dalam tiga tahap
- Pengguna boleh memantau status najis dan menerima nasihat pemakanan melalui aplikasi telefon pintar
- Panasonic Corp membangunkan peranti Toirepo untuk kemudahan penjagaan kejururawatan, merekodkan data perkumuhan dengan sensor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
