Karangkraf sedia jalin kolaborasi dengan MDA, perkasa digital media
SHAH ALAM – Karangkraf bersedia menjalin kolaborasi strategik bersama Persatuan Digital Malaysia (MDA) menerusi beberapa program pemerkasaan digital dalam industri media bagi memberi manfaat lebih meluas kepada pelbagai pihak.
Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kerjasama itu penting memandangkan kedua-dua pihak berada dalam ekosistem industri yang sama dan saling memerlukan antara satu sama lain.
“Hari ini Karangkraf menerima lawatan daripada MDA dan Karangkraf sendiri merupakan ahli persatuan ini.
"Pertemuan ini membuka ruang kepada MDA untuk mengenali dengan lebih dekat pengurusan serta operasi Karangkraf sekali gus membina kefahaman bersama yang lebih kukuh," katanya ketika kunjungan hormat dan mesyuarat bersama ahli majlis MDA dan Karangkraf & Sinar Harian pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Nik Justin menambah, pihaknya akan merangka beberapa kerjasama strategik dalam masa terdekat bagi memperkasakan industri digital, khususnya dalam sektor media dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem MDA.
Sementara itu, Presiden MDA, Nicholas Sagau Tony Ngimat berkata, Karangkraf merupakan antara penyokong kuat persatuan itu dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri digital negara.
Menurutnya, MDA sentiasa menekankan kepentingan kerjasama antara pemain industri agar ekosistem digital dapat berkembang secara mampan dan seimbang.
“Kehadiran semua ahli majlis MDA hari ini amat bermakna kerana kami dapat melihat secara dekat bagaimana Karangkraf beroperasi serta memahami teras perniagaannya.
"Pendedahan terhadap proses di sebalik tabir operasi Karangkraf membantu ahli majlis MDA memahami bagaimana pendekatan media dan penerbitan kini diterjemahkan dalam landskap industri semasa.
"Lawatan ini turut membuka mata ahli majlis terhadap evolusi industri percetakan yang masih kekal relevan walaupun berdepan perubahan teknologi," katanya.
Ringkasan AI
- Karangkraf bersedia menjalin kolaborasi strategik bersama Persatuan Digital Malaysia untuk memperkasakan industri media digital
- Kerjasama antara kedua-dua pihak dianggap penting untuk manfaat bersama dalam ekosistem industri yang sama
- Karangkraf menerima lawatan daripada MDA sebagai sebahagian daripada usaha memperkuat hubungan dan memahami operasi serta pengurusan Karangkraf lebih dekat
- Pihak Karangkraf akan merangka beberapa kerjasama strategik untuk memperkasakan sektor media digital dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan
- Presiden MDA menyatakan bahwa Karangkraf memainkan peranan penting dalam pembangunan industri digital dan menekankan pentingnya kerjasama antara pemain industri untuk pertumbuhan ekosistem digital yang mampan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
