14 kementerian gagal capai sasaran perbelanjaan projek pembangunan - KSN

PUTRAJAYA - Sejumlah 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan pada tahun lepas, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, status perbelanjaan pembangunan projek di bawah kementerian itu mencatat 87.91 peratus iaitu berada di bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius.
"14 Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) ini akan saya panggil, dan keputusan ini akan menjejaskan penilaian prestasi mereka melalui DEEP. Projek-projek rakyat seperti pembaikan jalan, pembinaan sekolah, klinik dan hospital telah dilaksanakan, tetapi perlaksanaannya lambat, sebab itu hanya 87 peratus sahaja dicapai.
"Sebab peruntukan ini kita beri tapi tidak digunakan sepenuhnya, jadi ia rugi. Sepatutnya dana ini boleh dimanfaatkan untuk projek lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Putrajaya pada Khamis.
Dalam amanat berkenaan, beliau berkata, sehingga 22 Disember 2025, sebanyak 9,578 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan RM83.06 bilion, manakala prestasi perbelanjaan merekodkan RM81.67 bilion.
Ia menyaksikan purata nasional prestasi perbelanjaan bagi projek pembangunan ialah 98.33 peratus.
DEEP atau Sistem Penilaian Prestasi Demerit diperkenalkan bagi menilai prestasi penjawat awam, dengan demerit dikenakan jika objektif yang ditetapkan gagal dicapai. - Bernama
Ringkasan AI
- Sejumlah 14 kementerian tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lepas
- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan status perbelanjaan projek di bawah kementerian tersebut mencatat 87.91 peratus, di bawah purata nasional
- 14 Ketua Setiausaha Kementerian akan dipanggil dan keputusan ini akan menjejaskan penilaian prestasi mereka melalui DEEP
- Peruntukan yang tidak digunakan sepenuhnya dianggap sebagai kerugian kerana dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk projek lain
- Sehingga 22 Disember 2025, 9,578 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan RM83.06 bilion, sementara purata nasional prestasi perbelanjaan adalah 98.33 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
