Kontroversi forum Gaza: FMT mohon maaf, wartawan aju soalan unsur perkauman

Nelson Fernandez
Nelson Fernandez
A
A
A

SHAH ALAM - Portal berita Free Malaysia Today (FMT) membuat permohonan maaf berhubung tindakan seorang wartawan daripada syarikat tersebut kerana mengajukan soalan yang dikatakan mempunyai unsur perkauman dalam satu wacana terbuka pada Isnin.

Wacana yang bertajuk 'Gaza Exposes the Complicity of International Actors' itu turut menampilkan ahli politik UK, George Galloway.

Pengerusi Eksekutif FMT, Nelson Fernandez menegaskan pihaknya tidak mengetahui niat soalan itu diajukan dan tidak bersetuju dengan komen-komen wartawan tersebut.

Menurutnya, tindakan segera dengan memulakan siasatan dalaman telah diambil apabila perkara berkenaan menjadi bahan perbincangan di media sosial.

"Ia membawa kepada tindakan tatatertib terhadap wartawan berkenaan.

"Proses tersebut sedang berjalan dan FMT tidak akan memberikan ulasan lanjut mengenai perkara ini buat masa sekarang.

"Ketika siasatan, FMT mendapati bahawa, berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak di media sosial, wartawan berkenaan tidak menggunakan perkataan "apartheid" di forum tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong turut mempersoalkan tindakan seorang wartawan FMT yang didakwa mengaitkan polisi apartheid Israel terhadap Palestin dengan layanan orang Melayu terhadap masyarakat Cina di Malaysia, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas dan tidak intelektual.

Beliau berkata, wartawan FMT juga perlu berfikir lebih kritis tentang soalannya tentang jumlah orang Cina di Malaysia yang telah dihalau keluar dari rumah mereka sendiri oleh orang Melayu dan merampas secara tidak sah?

Firdaus turut menyindir perbandingan yang dibuat dengan mengemukakan persoalan jumlah rakyat Gaza yang boleh menanam 'durian' di tanah Israel selama berpuluh tahun tanpa perlu membayar cukai dan tidak dikenakan tindakan malahan berani melawan pihak berkuasa Israel yang cuba mengambil tanah milik kerajaan Israel?

Tambah Nelson, bagaimanapun, FMT mengakui sensitiviti yang terkandung dalam komen dan soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut.

Jelasnya, sebagai organisasi berita yang bertanggungjawab, FMT sama sekali tidak melaporkan perkara atau menyokong pertanyaan sedemikian.

"FMT kesal atas kesulitan yang dicetuskan oleh wartawan kami terhadap penceramah forum, penganjur, para hadirin dan rakyat Malaysia secara amnya.

"Kami secara tulus ikhlas memohon maaf kepada mereka atas sebarang kesulitan yang timbul," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Portal berita Free Malaysia Today membuat permohonan maaf atas tindakan wartawan mengajukan soalan berunsur perkauman
  • Wacana bertajuk 'Gaza Exposes the Complicity of International Actors' menampilkan ahli politik UK, George Galloway
  • Pengerusi Eksekutif FMT, Nelson Fernandez, menegaskan pihaknya tidak mengetahui niat soalan itu dan tidak bersetuju dengan komen wartawan
  • Siasatan dalaman dijalankan selepas tindakan wartawan menjadi perbincangan di media sosial
  • FMT mengakui sensitiviti dalam komen dan soalan wartawan, menyatakan kesal atas kesulitan dicetuskan dan memohon maaf secara ikhlas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!