Kereta di parkir rupa-rupanya tempat simpan dadah

KELANA JAYA - Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan untuk diedarkan secara kecil-kecilan terbongkar selepas pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Bezza yang diparkir di kawasan pangsapuri di Taman Desa Petaling, Selangor baru-baru ini.
Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui bungkusan dalam dua beg runcit berisi bahan berbentuk kristal disyaki syabu di tempat duduk belakang.
"Dadah disyaki syabu seberat 11.031 kilogram (kg) bernilai RM352,992 itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemilik kenderaan telah ditahan untuk membantu siasatan, manakala kereta itu turut disita," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek atau mengesan sama ada Perodua Bezza itu disewakan kepada individu lain.
Tambahnya, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara luar sebelum dijual secara kecil-kecilan.
"Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan di parkir awam itu bagi mengelakkan kecurigaan penduduk setempat," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membantu JKDM memerangi kegiatan penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Ringkasan AI
- Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan untuk diedarkan bongkar di Taman Desa Petaling, Selangor
- Serbuan dilakukan oleh JKDM Kuala Lumpur pada jam 3 pagi
- Ditemui bungkusan syabu seberat 11.031 kilogram bernilai RM352,992 dalam Perodua Bezza
- Seorang lelaki berusia 30-an, pemilik kenderaan, ditahan untuk siasatan
- Dadah dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan disimpan di kenderaan di parkir awam untuk elak kecurigaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
