Garnacho 'sindir' Amorim, tekan butang 'like' berita pemecatan

BEKAS pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho mencuri tumpuan warga maya apabila secara terbuka menekan butang ‘like’ pada satu hantaran di Instagram yang mengesahkan pemecatan Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United.
Tindakan pantas pemain antarabangsa Argentina itu pada hantaran wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano dianggap oleh peminat sebagai satu sindiran terhadap bekas pengendalinya itu.
Umum mengetahui hubungan dingin antara Garnacho dan Amorim ketika kedua-duanya berada di Old Trafford, yang akhirnya membawa kepada perpindahan pemain itu ke Chelsea dengan nilai perpindahan £40 juta pada musim panas lalu.
Ketegangan antara mereka memuncak pada Disember 2024 apabila Amorim menyisihkan Garnacho daripada pasukan.
Retaknya hubungan itu tidak dapat diselamatkan apabila Amorim memaklumkan Garnacho bebas untuk meninggalkan kelab selepas digugurkan pada perlawanan terakhir musim menentang Aston Villa, Mei lalu.
Sebelum ini, pengurusan The Red Devils mengumumkan penamatan kontrak Amorim pada Isnin, susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United di Elland Road menyaksikan mereka kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
Keadaan menjadi lebih panas apabila Amorim meluahkan kemarahannya dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada pihak lembaga pengarah sejurus selepas perlawanan.
Dalam kenyataan tersebut, pengendali dari Portugal itu mendakwa, beliau menyertai kelab untuk menjadi pengurus dan bukan sekadar jurulatih selain memberi bayangan tidak berniat menyambung kontraknya yang berbaki 18 bulan.
Amorim meninggalkan Theatre of Dreams dengan rekod kemenangan terburuk (38.71 peratus) bagi mana-mana pengurus tetap United sejak era Liga Perdana bermula pada 1992.
Dalam kenyataan rasmi kelab, United mengucapkan terima kasih atas sumbangan Amorim yang sempat membawa pasukan ke final Liga Europa di Bilbao pada Mei lalu.
"Memandangkan Manchester United kini berada di tangga keenam Liga Perdana, pihak kepimpinan kelab dengan berat hati membuat keputusan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk melakukan perubahan.
"Ini bagi memberikan peluang terbaik kepada pasukan untuk menamatkan saingan liga di kedudukan setinggi mungkin," menurut kenyataan rasmi kelab.
Susulan pemecatan itu, United mengesahkan ketua jurulatih Bawah-18, Darren Fletcher akan menggalas tugas selaku pengendali sementara bagi aksi menentang Burnley, Rabu ini.
Ringkasan AI
- Alejandro Garnacho menekan butang 'like' pada hantaran Instagram tentang pemecatan Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United
- Hubungan antara Garnacho dan Amorim dingin, berakhir dengan perpindahan Garnacho ke Chelsea dengan nilai £40 juta
- Amorim menyisihkan Garnacho daripada pasukan pada Disember 2024
- Manchester United mengumumkan penamatan kontrak Amorim setelah seri 1-1 dengan Leeds United yang menempatkan mereka di tangga keenam Liga Perdana
- Darren Fletcher akan menjadi pengendali sementara Manchester United bagi perlawanan menentang Burnley
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
