[VIDEO] Penuntut UiTM maut: 'Hasrat Ismawanie Husna mahu sambung PhD, bantu keluarga tak kesampaian'
REMBAU – Salah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau yang maut dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubuk Cina, di sini, petang Ahad lalu pernah menyatakan hasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) demi membantu keluarga.
Hasrat tersebut diluahkan Allahyarham Ismawanie Husna Ismail,19 yang merupakan penuntut Diploma Komunikasi dan Media kepada ibunya Rusfalisa Alias, 47 baru-baru ini.
Menurut Rusfalisa, anak keduanya itu disifatkan seorang pendiam dan bercita-cita menjadi seorang guru selain mahu melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi demi membantu keluarga.
"Baru-baru ini dia memberitahu hasratnya untuk belajar sehingga ke peringkat PhD supaya memperoleh gaji lebih baik bagi membantu keluarga, tapi tak sempatlah kerana dia dah meninggal dunia.
“Kali terakhir saya berjumpa ketika dia pulang ke Kuala Pilah ketika cuti Krismas lalu dan waktu itu tidak nampak pula sebarang perubahan pada dirinya melainkan dia kerap mahu berkongsi makanan dengan saya,” ujarnya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, di sini, pada Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, Ismawanie Husna, 19 yang menunggang motosikal dengan rakannya Nur Ain Zulaisya Zahrain, 19 sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina.
Sejurus tiba di lokasi yang jalannya selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Nur Ain Zulaisya iaitu Ayu Zana Zahari, 45, pula berkata, dia sempat membuat panggilan video dengan anak keduanya itu sehari sebelum kejadian.
“Sekitar jam 10 malam, kami berbual dan dia memaklumkan rakannya ingin menyewa motosikal kerana ada urusan kerja.
“Saya mengenali rakan arwah kerana mereka sangat rapat dan kedua-duanya mempunyai lesen motosikal,” katanya.

Bagaimanapun, ujar suri rumah itu, dia dan suami dikejutkan dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memaklumkan anak mereka yang sedang menuntut Diploma Pengurusan Maklumat terlibat dalam kemalangan.
Dia sekeluarga yang menetap di Manjung, Perak, kemudian bergegas ke Rembau dan tiba kira-kira jam 1 pagi bagi membuat pengecaman mayat.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Dia seorang anak yang baik dan lemah lembut.
“Sepanjang cuti semester bulan Ramadan ini, dia sudah merancang untuk memasak buat kami sekeluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya sayu.
Difahamkan jenazah kedua-dua mereka akan dibawa ke UiTM Kampus Rembau untuk solat jenazah sebelum dibawa pulang ke Kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.
Ringkasan AI
- Allahyarham Ismawanie Husna Ismail, penuntut UiTM Rembau, berhasrat menyambung pengajian ke PhD untuk membantu keluarga Ismawanie Husna disifatkan sebagai pendiam dan bercita-cita menjadi guru Ismawanie Husna maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Chengkau–Panchang–Lubuk Cina Kemalangan yang meragut nyawa Ismawanie Husna dan rakannya Nur Ain Zulaisya Zahrain berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari UiTM Rembau Kedua-dua penuntut itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

