Mas Gemak sudah tiada

Mas Gemak maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
Mas Gemak maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
A
A
A

MACHANG - Seorang pembantu kedai pakaian terpakai dikenali Mas Gemak maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 35.8, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Simpang Tiga Dewan Kechil, Labok, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Amirul Haikal Amran, 22, yang menunggang motosikal jenis Honda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Majikan mangsa, Azwan Ab Wahab, 39, berkata, arwah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Machang selepas selesai bekerja di kedai di Nilam Puri, Kota Bharu, kira-kira jam 6 petang.

“Arwah seorang pekerja yang sangat rajin dan bertanggungjawab, kehilangannya amat dirasai kerana dia sudah bekerja dengan saya hampir tiga tahun.

“Dia cepat belajar, mudah dibimbing dan memang membantu menghasilkan kandungan promosi kedai guna nama Mas Gemak di media sosial,” katanya kepada Sinar Harian.

Motosikal mangsa yang remuk selepas perlanggaran dengan MyVi.
Motosikal mangsa yang remuk selepas perlanggaran dengan MyVi.

Menurut Azwan, Amirul Haikal baru sahaja pulang daripada bercuti selama dua hari di Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baharu dan kembali bekerja seperti biasa pada hari kejadian.

“Tak sangka itu hari terakhir kami sebab dia tak tunjuk apa-apa pun, macam biasa dan sebelum dia balik, kami sempat bersalaman.

Artikel Berkaitan:

“Arwah memang seorang yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta iaitu Perodua Myvi serta Honda City.

“Siasatan awal mendapati sebuah Perodua Myvi dipandu seorang wanita bersama empat anaknya dari arah Kuala Krai menuju ke simpang Dewan Kechil di sebelah kanan jalan.

“Ketika kenderaan itu mula membelok masuk ke simpang, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menuju Kuala Krai dipercayai melanggar bahagian sisi kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Myvi berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Honda City yang dipandu seorang wanita bersama dua anaknya yang sedang menunggu untuk keluar simpang ke arah Kota Bharu.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala semua pemandu serta penumpang kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pembantu kedai pakaian terpakai dikenali Mas Gemak maut dalam kemalangan di Kilometer 35.8, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai
  • Mangsa bernama Amirul Haikal Amran, berusia 22 tahun, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah
  • Amirul Haikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Machang selepas bekerja di kedai di Nilam Puri
  • Kemalangan melibatkan motosikal mangsa dan dua kereta iaitu Perodua Myvi serta Honda City
  • Kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!