Insurans bukan tiket mudah jadi kaya

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tuntutan insurans hayat tidak semudah yang disangka terutama apabila kematian berlaku akibat perbuatan jenayah atau melibatkan unsur kesalahan undang-undang.
Penasihat takaful, Muhammad Zamir Zubaide, 28, berkata, semua syarikat takaful ataupun insurans di Malaysia di bawah Bank Negara Malaysia.
Oleh demikian, beliau menjelaskan, semua syarikat terikat dengan undang-undang Malaysia dan ada syarat-syarat dalam sijil polisi insurans atau takaful itu.
"Syarat-syarat tuntutan pampasan ini tidak akan berlaku sekiranya disebabkan bunuh diri, melakukan perkara ekstrem dan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

"Hal ini bermaksud orang yang memiliki insurans ataupun takaful tidak layak membuat tuntutan pampasan dan polisi akan terbatal," katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan ketaasuban terhadap wang tuntutan insurans dipercayai menjadi punca seorang wanita bertindak berpakat dengan teman lelakinya untuk membunuh suaminya sendiri di Taman Ehsan Jaya di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun diserang ketika sedang tidur.
Jelasnya, lelaki yang dipercayai kekasih kepada isteri mangsa bertindak menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga menyebabkan dia sesak nafas.
Tambah Muhammad Zamir, untuk kes yang berlaku di Johor, tuntutan pampasan tidak akan berlaku kerana telah menyalahi undang-undang, apatah lagi sekiranya penama yang penerima pampasan insurans atau takaful nyawa bertindak membunuh orang yang memiliki insurans itu.
"Untuk kes seperti ini, pihak insurans ataupun takaful akan meminta untuk melampirkan dokumen diperlukan seperti laporan polis ataupun laporan hospital.
"Pihak insurans mahupun takaful tidak semudah itu untuk luluskan tuntutan memandangkan penama itu akan terbatal dan pampasan tersebut akan dibekukan," ujarnya lagi.
Menurut beliau, waris lain masih boleh buat tuntutan secara urusan faraid di Amanahraya, pejabat pusaka kecil atau Mahkamah sekiranya tiada tuntutan pampasan tersebut akan di serahkan kepada Jabatan Akauntan Negara (JANM) Direkod sebagai Wang Tidak Dituntut.
"Untuk proses ini, jika bukan kes biasa akan mengambil masa untuk selesai dengan mahkamah akan tentukan," kata Muhammad Zamir.
Bagaimanapun menurutnya, proses tuntutan untuk kes biasa hanya akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja.
"Untuk kematian disebabkan penyakit hanya perlu lampirkan sijil kematian, surat pengesahan dari hospital dan kad pengenalan penama penerima pampasan.
"Jika kes kemalangan, maka perlu dilampirkan laporan polis, surat pengesahan hospital dan kad pengenalan penama penerima pampasan," jelasnya lagi.
Tegasnya, insurans dan takaful diwujudkan untuk melindungi keluarga, sekali gus bukan sebagai jalan pintas mendapatkan wang.
"Tidak banyak kesedaran masyarakat tentang insurans atau takaful," kongsinya lagi.
Ringkasan AI
- Tuntutan insurans hayat mungkin tidak berlaku jika kematian berlaku akibat perbuatan jenayah
- Semua syarikat insurans di Malaysia tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan Bank Negara Malaysia
- Tuntutan pampasan tidak akan diluluskan jika kematian disebabkan oleh bunuh diri, perilaku ekstrem atau aktiviti yang menyalahi undang-undang
- Dalam kes tertentu, waris boleh membuat tuntutan melalui proses faraid dan wang akan diserahkan ke Amanah Raya jika tiada tuntutan dibuat
- Proses tuntutan untuk kes kematian biasa mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja, dengan dokumen yang diperlukan termasuk laporan polis, sijil kematian dan surat pengesahan hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

