[VIDEO] Wanita, teman lelaki mengaku tidak bersalah cuba bunuh suami

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan cubaan membunuh suami wanita terbabit.
Wanita berkenaan, N Egavalli, 46, dan teman lelakinya, R Kamala Sarna, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan cubaan membunuh terhadap suami wanita itu, G Kumaresan, 48, dengan cara menutup muka mangsa menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan EJ 9/6, Taman Ehsan, Johor Bahru pada jam 9.30 malam, 22 Disember lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya R Nevina, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.
Pihak pendakwaan mencadangkan agar tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh memandangkan cubaan membunuh merupakan kesalahan yang serius.
Bagaimanapun, Bharathi memohon agar jaminan dikurangkan dengan alasan bahawa N Egavalli mempunyai dua anak autistik (autisme tidak verbal) masing-masing berusia 17 dan 21 tahun yang memerlukan penjagaan rapi.
Beliau turut menyatakan bahawa tiada alasan untuk wanita itu melarikan diri atau menghilangkan diri kerana mempunyai anak orang kurang upaya (OKU), dan memohon agar jaminan dibenarkan dengan syarat tambahan ditetapkan oleh mahkamah.
Suami tertuduh dilaporkan bekerja di sebuah gudang di Changi, Singapura dengan pendapatan SGD2,500 (kira-kira RM7,900) dan hanya pulang ke rumah pada waktu malam.
Selain itu, Bharathi turut memaklumkan bahawa Kamala Sarna juga mempunyai seorang anak, manakala isterinya yang berusia 38 tahun bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta dengan pendapatan RM7,000 sebulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang, dengan dua penjamin warganegara Malaysia bagi setiap tertuduh.
Pasport mereka turut diperintahkan diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 3 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah dan seorang penganggur didakwa cubaan membunuh suami wanita tersebut di Johor Bahru
- Mereka berdua mengaku tidak bersalah dalam Mahkamah Sesyen Johor Bahru
- Dakwaan itu melibatkan penggunaan bantal untuk menutup muka mangsa yang boleh menyebabkan kematian
- Pembelaan memohon jaminan dengan alasan wanita tertuduh mempunyai dua anak autistik memerlukan penjagaan
- Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan syarat tertentu termasuk menyerahkan pasport
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
