Dua murid lemas di Air Terjun Way Lalaan

JAKARTA – Dua murid sekolah rendah maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di kawasan pelancongan Air Terjun Way Lalaan, Kabupaten Tanggamus, Lampung, Indonesia pada Khamis.
Menurut laporan Liputan6, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang waktu tempatan ketika kawasan air terjun berkenaan sesak dengan pengunjung sempena cuti Tahun Baharu.
Ketua Polis Tanggamus, AKBP Rahmad Sujatmiko berkata, kedua-dua mangsa sempat dibawa keluar dari kawasan air sebelum dikejarkan ke hospital.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan,” katanya.
Hasil pemeriksaan perubatan di Hospital Daerah Batin Mangunang, Kota Agung mendapati punca kematian adalah akibat kemasukan air ke dalam paru-paru yang menyebabkan pernafasannya terhenti.
Menurut beliau, tiada sebarang unsur kekerasan atau kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.
Mangsa dikenalpasti sebagai DV (9), murid Tahun Tiga dari Belu dan DA (10), murid Tahun Empat dari Pekon Talagening, Kecamatan Kota Agung Barat.
Polis kini mengambil keterangan beberapa saksi termasuk ibu bapa mangsa serta menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Pihak berkuasa turut berkoordinasi dengan pengurusan kawasan pelancongan berkenaan bagi menilai tahap keselamatan pengunjung di lokasi tersebut.
Ringkasan AI
- Dua murid sekolah rendah maut lemas di Air Terjun Way Lalaan, Lampung, Indonesia semasa cuti Tahun Baharu
- Kedua-dua mangsa sempat dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kemasukan air ke dalam paru-paru
- Tiada unsur kekerasan atau kecederaan lain pada tubuh mangsa
- Mangsa adalah DV, murid Tahun Tiga dari Belu dan DA, murid Tahun Empat dari Pekon Talagening
- Polis dan berkuasa tempatan sedang siasat dan menilai keselamatan kawasan pelancongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
