Helikopter Super Lynx TLDM buat pendaratan cemas di Pantai Klebang

MELAKA - Sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang di sini pada malam Rabu.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.50 malam, ketika pesawat berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menurut kenyataan itu, seramai empat orang kru udara berada di dalam helikopter itu berjaya diselamatkan.
“Semua kru telah dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. Mereka dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil serta sedang dipantau oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, TLDM telah mengambil tindakan serta-merta dengan mengatur operasi salvaj bagi pesawat berkenaan.
Selain itu katanya, satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“TLDM memohon orang ramai agar tidak menularkan video kejadian yang berlaku
demi menjaga sensitiviti dan kelancaran proses penyiasatan,” ujar kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia terlibat dalam insiden pendaratan cemas di Pantai Klebang, Melaka
- Insiden berlaku ketika helikopter melaksanakan penerbangan demonstrasi untuk Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas Tentera Darat Malaysia
- Empat orang kru udara berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan
- TLDM telah mengatur operasi salvaj bagi pesawat tersebut
- Sebuah lembaga siasatan telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

