Arsenal 'mengganas', Arteta laung amaran tamatkan kemarau 22 tahun

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kepada pesaing bahawa kemenangan bergaya 4-1 ke atas Aston Villa membuktikan The Gunners kini berada di landasan tepat untuk menamatkan penantian trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selama 22 tahun.
Skuad kendalian Arteta itu menutup tirai tahun 2025 dengan status pendahulu liga, berkelebihan lima mata di hadapan penyandang juara, Manchester City dan enam mata mengatasi Villa di tangga ketiga.
Menurut Arteta, kemenangan itu adalah kenyataan jelas bahawa Arsenal sudah bersedia untuk bergelar juara selepas tiga musim berturut-turut sekadar berpuas hati sebagai naib juara.
"Ia adalah tahun 2025 yang hebat di peringkat peribadi dan profesional. Cara pemain, kelab dan staf membuatkan saya menikmati kerja setiap hari sangat luar biasa.
"Untuk tahun 2026, kami tahu apa yang kami mahukan. Kami perlu bekerja keras setiap hari untuk mencapainya, tetapi saya rasa kami berada di landasan yang betul," katanya.
Kemenangan itu turut menebus kekecewaan tewas kepada Villa dan Liverpool serta seri menentang Manchester City dan Chelsea pada awal musim ini.
Arteta turut memuji impak pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes yang kembali beraksi selepas enam minggu berehat akibat kecederaan.
"Dia kembali selepas enam minggu dan terus tenang berhadapan salah seorang penyerang terbaik liga, Ollie Watkins. Saya rasa dia sangat hebat," puji Arteta.
Ringkasan AI
- Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kemenangan 4-1 ke atas Aston Villa membuktikan Arsenal boleh menamatkan penantian trofi EPL 22 tahun
- Arsenal menutup tahun 2025 sebagai pendahulu liga, lima mata di depan Manchester City dan enam mata mengatasi Aston Villa
- Arteta percaya kemenangan itu menunjukkan Arsenal bersedia menjadi juara selepas tiga musim sebagai naib juara
- Kemenangan menebus kekecewaan awal musim tewas kepada Villa dan Liverpool serta seri dengan Manchester City dan Chelsea
- Arteta memuji pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes yang beraksi hebat selepas pulih dari kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
