Nahas payung terjun: Anggota tentera patah rusuk, leher

MELAKA - Seorang anggota tentera dari unit Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang mengalami patah tulang rusuk kanan dan kecederaan pada leher selepas terjatuh ketika melakukan aksi payung terjun di Pantai Klebang di sini Ahad.
Video kejadian tular di media sosial memaparkan payung terjun yang dikendalikan pembantu jurulatih tersebut turun dalam keadaan laju sebelum terhempas di kawasan pendaratan.
Kejadian berlaku ketika Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (GGK) ke-60 yang berlangsung di Encore Melaka sejak 27 Disember lalu dan dijadualkan berakhir pada Rabu.

Susulan insiden itu, mangsa difahamkan kini menerima rawatan di Hospital Melaka.
Seorang pengunjung yang menyaksikan kejadian tersebut memaklumkan insiden berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika acara terjunan bebas sedang berlangsung.
Menurutnya, anggota berkenaan kelihatan mengalami kesukaran ketika di udara sebelum mendarat dalam keadaan laju dan terhempas.
Mangsa kemudiannya dibantu anggota bertugas sebelum dibawa keluar dari lokasi menggunakan ambulans tentera.
Ringkasan AI
- Anggota tentera dari PULPAK mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan leher selepas terjatuh ketika payung terjun di Pantai Klebang
- Video kejadian tular memaparkan payung terjun turun laju sebelum terhempas
- Kejadian sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas ke-60
- Mangsa sekarang menerima rawatan di Hospital Melaka
- Insiden berlaku sekitar jam 6.30 petang dan mangsa dibawa keluar menggunakan ambulans tentera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

