Tiada petunjuk baharu, operasi cari pemancing hilang di Sungai Belanak ditamatkan

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menghentikan operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memancing di Jalan Ban Sungai Belanak, Juru, sejak Sabtu lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dikenali sebagai Ariff Aiman Ishak, 23, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing, sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.
Menurutnya, kehilangan mangsa disedari selepas ahli keluarga menemui topi keledar dan peralatan memancing milik mangsa yang masih berada di atas pelantar di lokasi terakhir dia dipercayai dilihat.
“Pihak bomba menerima maklumat kejadian daripada pihak polis pada jam 5.36 petang, Sabtu, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan pencarian berdasarkan maklumat awal yang diterima, dengan mangsa dikhuatiri lemas.
“Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa ditamatkan selepas tiada petunjuk baharu ditemui, susulan nasihat serta keputusan pihak polis,” katanya.
Menurut John Sagun, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang dan Pusat Kawalan Bencana (PKB) turut ditutup pada masa yang sama.
Namun, katanya, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu berkaitan kehilangan mangsa.
Ringkasan AI
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang menghentikan operasi mencari pemancing hilang di Jalan Ban Sungai Belanak
- Mangsa dikenali sebagai Ariff Aiman Ishak, 23, dilaporkan hilang ketika memancing
- Kehilangan mangsa disedari apabila topi keledar dan peralatan memancing ditemui di lokasi memancing
- Operasi pencarian bermula selepas maklumat diterima dari polis dan digerakkan oleh BBP Perai
- Operasi ditamatkan tanpa petunjuk baharu dan akan disambung semula jika ada maklumat baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

