Lebih 20 tan sampah ditinggalkan selepas pesta Hari Krismas di Pantai Coogee

Lebih 20 tan sampah ditinggalkan. -Foto Agensi
Lebih 20 tan sampah ditinggalkan. -Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY – Lebih 20 tan sampah ditinggalkan bertaburan di Pantai Coogee, Sydney, selepas penganjuran pesta tahunan backpacker sempena Hari Krismas yang terkenal dengan kehadiran ribuan pengunjung.

Ribuan orang membanjiri pantai itu pada Khamis sempena sambutan yang dikenali sebagai “Orphans Christmas” atau “Backpacker Christmas”, namun kemeriahan acara berakhir dengan pemandangan memalukan apabila pantai dipenuhi sisa buangan termasuk tin minuman, pembungkus makanan, tikar, beg penyejuk dan pelbagai barangan lain.

Acara tahunan tersebut lazimnya diadakan di Pantai Bronte, namun dipindahkan ke Coogee tahun ini selepas Majlis Perbandaran Waverley menasihatkan orang ramai agar menjauhi kawasan itu berikutan kerja pembinaan serta insiden serangan pengganas di Bondi baru-baru ini.

Orang ramai berpesta sempena Hari Krismas di Pantai Coogee, Sydney, pada Khamis, 25 Disember 2025.-Agensi
Orang ramai berpesta sempena Hari Krismas di Pantai Coogee, Sydney, pada Khamis, 25 Disember 2025.-Agensi

Datuk Bandar Randwick, Dylan Parker berkata, walaupun ramai pengunjung bertindak secara bertanggungjawab, masih terdapat segelintir pihak yang mencemarkan kawasan awam.

“Walaupun ramai berkelakuan baik, amat mengecewakan apabila ada yang memilih untuk membuang sampah secara berleluasa dan membuang air kecil di tempat awam,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan oleh kakitangan majlis perbandaran bermula sekitar jam 8 malam Khamis dan diteruskan sepanjang malam sebelum selesai pada pagi Jumaat.

Menurut Parker, lebih 20 tan sampah berjaya dikutip dan dihantar ke tapak pelupusan menggunakan empat lori.

Beliau merakamkan penghargaan kepada puluhan kakitangan majlis yang bertugas dalam keadaan sukar sehingga lewat malam Krismas dan pagi Boxing Day.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lebih 20 tan sampah ditinggalkan bertaburan di Pantai Coogee, Sydney, selepas pesta tahunan backpacker sempena Hari Krismas
  • Ribuan orang hadir di pantai itu menimbulkan pemandangan memalukan dengan sisa buangan seperti tin minuman dan pembungkus makanan
  • Acara biasanya diadakan di Pantai Bronte, dipindahkan ke Coogee tahun ini kerana nasihat Majlis Perbandaran Waverley dan insiden terkini
  • Datuk Bandar Randwick menyatakan kekecewaan terhadap tindakan segelintir pengunjung yang membuang sampah dan air kecil di tempat awam
  • Pembersihan sampah yang melebihi 20 tan dilaksanakan oleh kakitangan majlis dan selesai pada pagi Jumaat menggunakan empat lori

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!