Siapa Menteri Besar Perlis yang baharu?

Muhammad Azmir (kiri), Asrul Aimran dan Abu Bakar.
Muhammad Azmir (kiri), Asrul Aimran dan Abu Bakar.
A
A
A

KANGAR - Exco Kanan Perlis, Muhammad Azmir Azizan antara disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Perlis menggantikan Mohd Shukri Ramli yang mengumumkan letak jawatan pada Khamis.

Pengalaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan yang memegang beberapa portfolio termasuk Exco Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia dirasakan cukup bersedia untuk dilantik sebagai menteri besar.

Bekas pelajar Universiti Al-Azhar berusia 46 tahun itu dikatakan sesuai kerana merupakan individu paling rapat dengan Mohd Shukri.

Seorang lagi ADUN Pas yang dikatakan menjadi pilihan sebagai calon menteri besar ialah Asrul Aimran Abd Jalil yang merupakan exco penerangan dan digital, perumahan dan kerajaan tempatan.

ADUN Kayang berusia 42 tahun itu dikatakan sesuai berdasarkan pengalaman beliau sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Negeri dan Ketua Pemuda Pas Negeri.

Beliau turut mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dari Universiti Damascus, Syria.

Selain itu, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri, Abu Bakar Hamzah dari parti Bersatu yang juga ADUN Kuala Perlis juga dikatakan individu yang paling layak menggantikan menteri besar.

Kedudukannya sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Perlis dan Timbalan Pengerusi Perikanan Nasional (PN) Negeri itu turut menggambarkan beliau adalah individu yang sesuai.

Abu Bakar memegang portfolio penting iaitu Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Luar Bandar dilihat cukup aktif mempromosikan dan menganjurkan pelbagai program dalam usaha memartabatkan pelancongan negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Teka-teki mengenai siapa calon menteri besar tercetus setelah Mohd Shukri mengumumkan letak jawatan akibat faktor kesihatan yang dialami.

Pergolakan politik di Perlis berlaku setelah lapan ADUN iaitu tiga dari Pas dan lima dari Bersatu menandatanggani akuan bersumpah (SD) menyatakan pendirian hilang sokongan terhadap menteri besar.

Susulan itu, tiga ahli Pas terbabit telah dikenakan tindakan dihentikan keahlian serta-merta.

Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Terbaharu, Pas memaklumkan parti itu mempersembahkan dua nama calon Menteri Besar Perlis kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sementara Bersatu dikatakan telah mempersembahkan tiga nama calon untuk diputuskan sebagai menteri besar.

Ringkasan AI

  • Muhammad Azmir Azizan, Exco Kanan Perlis, disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Perlis
  • Asrul Aimran Abd Jalil, ADUN Pas, juga menjadi pilihan calon menteri besar
  • Abu Bakar Hamzah, Exco Kerajaan Negeri daripada Bersatu, dilihat layak menggantikan menteri besar
  • Pergolakan politik di Perlis berlaku setelah lapan ADUN menyatakan hilang sokongan terhadap menteri besar
  • Pas dan Bersatu telah mempersembahkan calon masing-masing kepada Raja Perlis untuk diputuskan sebagai menteri besar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!