'Kita kena tunjuk kita boleh buat'

DI SEBALIK kemeriahan pentas budaya, alunan muzik tradisional dan deretan pelancong yang menikmati pelbagai jenis sajian di Saloma Kuala Lumpur, berdiri seorang wanita yang menjadi figura penting menghidupkan kembali lokasi tumpuan tersebut.
Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Dr Riza Che Umar, bukan nama asing dalam dunia perniagaan dan hari ini, meskipun sudah lebih dua dekad membina empayar dalam pelbagai bidang, beliau masih tekun menenun kecekalan, disiplin serta keberanian demi membuktikan keupayaan wanita untuk menerajui dunia perniagaan.
Segalanya bermula sejak 25 tahun lalu, ketika baru berusia 24 tahun, beliau melangkah masuk ke dunia perniagaan dengan menggalas tanggungjawab besar menguruskan Pasaraya Borong Sakan, perniagaan milik keluarga.
Pada masa itu, beliau diberi tanggungjawab untuk membuka rangkaian Pasaraya Borong Sakan yang sebelum itu hanya menjalankan jualan secara borong.
Meskipun dilihat sebagai 'laluan mudah', realitinya, sebagai wanita muda dalam dunia perniagaan yang didominasi lelaki, beliau berdepan stigma dan cabaran lebih besar dalam membuktikan kredibilitinya menerajui perniagaan tersebut.
"Saya habis belajar di luar negara, saya balik dan teraju syarikat ayah. Orang kata saya ni 'anak bos', tak tahu apa-apa, tak ada pengalaman...tapi saya kena buat, tunjuk saya boleh pimpin syarikat.
"Pernah pada satu masa, panggil pemandu dia tak nak datang...nak bawa lori ni kan kena ada lesen khas. Jadi saya naik atas lori, hidupkan enjin dan saya bawa sendiri.
"Masa tu saya sedar, kalau orang tak nak dengar cakap kita, kita kena tunjuk kita boleh buat," kongsi beliau ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Langkah berani ceburi perniagaan
Menurut Riza, kedai pertama dibuka pada tahun 2000 dan hari ini, perniagaan tersebut mempunyai 68 cawangan seluruh Malaysia.
Perjalanan wanita berusia 49 tahun ini tidak pernah terhenti apabila sepanjang tempoh itu juga, beliau terus mengambil langkah berani menceburi pelbagai bidang perniagaan lain termasuk pengurusan acara, pengurusan aset, minyak & gas, termasuklah buat pertama kalinya terjun ke bidang perniagaan makanan dan minuman bagi Saloma Kuala Lumpur.
Mengakui bukan sesuatu yang mudah, beliau bagaimanapun berpegang kepada prinsip untuk memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh demi membina empayar perniagaan.
"Dalam hidup ni kita takkan tahu semua benda..kita tak akan pakar dalam semua perkara...tapi, saya percaya ada cara untuk kita libatkan diri.
"Jadi pada saya, ambil tahu, belajar...kalau minat sesuatu perkara untuk berniaga, belajar, kemudian cari rakan kongsi yang sesuai...dan tawakal...saya juga buat solat istikharah...tak jemu minta pada ALLAH SWT bantu saya terutamanya dalam bidang yang saya tak tahu," katanya.
Dalam memastikan perniagaan terus berdaya saing, Riza berkata, beliau percaya kerjasama dan komitmen dalam pasukan amat penting.
Justeru, beliau memilih pendekatan memimpin melalui teladan dan sedia berbincang bersama pekerja bawahan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang wujud.
Kembangkan perniagaan hub budaya dan pelancongan
Berkongsi mengenai Saloma Kuala Lumpur, Riza berkata, perniagaan tersebut tidak dibangunkan sebagai restoran semata-mata, sebaliknya sebagai amanah dan platform rezeki buat anak seni dan mereka yang memerlukan.
Bagi beliau, kejayaan bukan sekadar angka atau populariti, tetapi apa yang boleh diberi semula kepada orang lain.
"Saya lihat Saloma sebagai satu hub budaya dan pelancongan sebab Kuala Lumpur sebenarnya kurang cultural show yang betul-betul angkat budaya kita.
"Saya nak jadikan perniagaan ini sebagai hub pelancongan dan budaya bukan hanya di Kuala Lumpur...tapi juga di bandar-bandar besar lain seperti di Pulau Pinang, Johor...nak kembangkan kalau diizinkan ALLAH SWT," katanya.
Berkongsi nasihat kepada wanita yang mahu menceburi bidang perniagaan, beliau berkata, wanita perlu membina mindset yang kuat, memilih jaringan yang positif dan menjaga integriti kerana ia merupakan modal sebenar dalam dunia perniagaan.

Korban masa dengan keluarga
Setiap kejayaan tentunya menuntut pengorbanan. Perkara tersebut diakui Riza yang terpaksa berkorban masa dalam memastikan kerjaya dan masa bersama keluarga lebih seimbang.
Sebagai isteri dan serta ibu kepada dua cahaya mata, masing-masing berusia tiga dan sepuluh tahun, gabungan tanggungjawab tersebut bukan sesuatu yang mudah.
"Saya kena kekal fokus, apa pun kena bermula dari rumah...kalau rumah tangga ok, hubungan dengan suami dan anak-anak ok, di tempat kerja insya-ALLAH ok.
"Support system sangat penting. Andai saya 'burn out' atau letih, saya akan mengadu pada suami dan kepada ayah saya...kemudian akan buat apa-apa perkara yang boleh pulihkan keadaan macam pergi bercuti atau bersukan.
"Tapi paling kita tak boleh lupa adalah hubungan kita dengan ALLAH SWT, kita tak boleh tinggal. Bila-bila masa DIA boleh tarik apa sahaja yang DIA beri kat kita atau DIA boleh bagi kesenangan tapi hubungan kita dengan DIA jauh...sentiasa minta jangan jauhkan kita dengan DIA...saya harap dan saya sentiasa berdoa, supaya ini yang saya pegang sampai bila-bila," katanya.
PROFILE DATIN SERI DR RIZA CHE UMAR
Nama: Datin Seri Dr. Rosmariza Che Umar
Umur: 49 Tahun
Pendidikan:
- Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan, Kingston University, London
- CEO Double Doctorate, UTMSPACE Services
1. Doctor of Business Administration: UNIES Business School, Collegium Humanum Warsaw Management University, Poland (Pentadbiran Perniagaan)
1. PhD: Saito University College, Malaysia dalam bidang Pengurusan (sedang mengikuti pengajian)
Senarai Anugerah & Pencapaian:
- Fair Price Shop Awards (2008–2009)
- Anugerah Kedai Harga Patut (2010)
- Anugerah Kedai Harga Patut (2014)
- SME Icons (2018)
- Outstanding Media SME Award (2018)
- Brand SME Excellence – Retailing Outlet (2020)
- SME100 Awards – Fast Moving Companies (2021)
- Anugerah Kedai Harga Patut (2021)
- World Muslimpreneur Award Malaysia (2022)
- Business Sinar Awards (BISA) (2023)
- Best Women Entrepreneur 2025 dalam Industri Pelancongan (2025)
- Pinnacle Industry Icon of the Year Award – Kategori Personaliti (Pinnacle of Success Business Award) (2025)
Ringkasan AI
- Datin Seri Dr Riza Che Umar ialah tokoh utama di belakang Saloma Kuala Lumpur, sebuah pusat budaya dan pelancongan
- Memulai perjalanannya dalam dunia perniagaan pada usia 24 tahun, beliau mengurus Pasaraya Borong Sakan milik keluarganya
- Beliau berhadapan dengan stigma sebagai wanita muda dalam industri yang didominasi lelaki dan terpaksa membuktikan kemampuannya sendiri
- Riza telah melakukan pengorbanan besar dalam masa bersama keluarga demi memastikan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi
- Melalui prinsip memanfaatkan setiap peluang, kerjasama pasukan, dan kepimpinan melalui teladan, beliau berhasrat mengembangkan perniagaan ke lebih banyak bidang serta lokasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

