Pelajar iGROW atasi kekurangan sayur di pasaran

Pelajar iGROW sedang mengumpul hasil tanaman mereka sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.
Pelajar iGROW sedang mengumpul hasil tanaman mereka sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Inisiatif beberapa pelajar Institut Latihan Agro Usahawan (iGROW) di sini memasarkan hasil pertanian yang ditanam sendiri berjaya mengatasi masalah kekurangan bekalan sayur di pasaran sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Seorang pelajar, P Jaya Ganesan Jeffry, 34, berkata, pada asalnya, semua pelajar diarahkan balik disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun seramai tujuh pelajar dalam bidang penanaman mengambil keputusan untuk tinggal di kolej bagi menjaga tanaman masing-masing.

Menurutnya, mereka pada peringkat awal tidak melihat sebarang keperluan untuk memasarkan hasil pertanian tersebut kerana pada minggu pertama PKP, semua kedai masih mempunyai bekalan dan banyak premis dibuka seperti biasa.

"Bagaimanapun pada minggu kedua, permintaan terhadap sayur-sayuran ini meningkat apabila peniaga mula kekurangan bekalan dan pembekal juga tidak dapat menghantarnya disebabkan faktor logistik. Jadi kami gunakan ini sebagai peluang untuk pasarkan hasil pertanian yang diusahakan sendiri oleh pelajar.

"Walaupun iGROW ini ditutup, namun kami mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan pengalaman memasarkan hasil pertanian dan belajar bagaimana berurusan dengan peniaga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jaya Ganesan Jeffry menunjukkan kacang panjang yang dituai untuk dipasarkan di sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.
Jaya Ganesan Jeffry menunjukkan kacang panjang yang dituai untuk dipasarkan di sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk memasarkan hasil dalam keadaan PKP kerana semua pelajar perlu mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Jaya Ganesan Jeffry berkata, pihak iGROW juga menjaga kebajikan mereka dengan membekalkan cecair pembasmi kuman serta topeng muka ketika keluar menghantar bekalan sayur yang ditempah peniaga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara sayur-sayur yang dipasarkan seperti cili hijau, kacang panjang, timun dan bendi manakala beberapa jenis sayur seperti sawi, kubis, bayam dan kangkung dijangka akan dituai dalam masa tiga minggu lagi.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, pengalaman yang diperoleh sepanjang memasarkan hasil pertanian itu sangat berharga dalam keadaan negara dilanda krisis itu.

Malah katanya, inisiatif dilakukan pelajar iGROW itu membantu memastikan bekalan makanan untuk penduduk setempat tidak terputus selain mereka memperoleh pendapatan sampingan hasil jualan tersebut.