PRK Kinabatangan: BN calonkan anak Allahyarham Bung Moktar

KOTA KINABALU – Mohd Naim Kurniawan, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadual berlangsung pada 24 Januari depan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Naim yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO, menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya selepas menerima amanah daripada kepimpinan tertinggi parti.
“Terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan amanah sebagai calon BN PRK Parlimen Kinabatangan.
“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi turut membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan,” tulisnya pada malam Jumaat.
Mohd Naim yang juga anak sulung kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut meluahkan bahawa detik berkenaan pastinya lebih bermakna sekiranya dapat disaksikan oleh bapanya sendiri.
“Alangkah sempurnanya jika momen ini disaksikan oleh bapa saya. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik.
“Takziah dan tahniah ini akan saya pikul bersama, dan akan diperjuangkan dengan sepenuh jiwa, kudrat serta keikhlasan,” katanya.
Sebelum ini, UMNO Sabah memaklumkan bahawa empat nama telah disenaraikan untuk dikemukakan kepada Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, sebagai calon bagi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Untuk rekod, Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
Ringkasan AI
- Mohd Naim Kurniawan anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi PRK Parlimen Kinabatangan
- Pengumuman dibuat oleh Mohd Naim di akaun Facebook miliknya setelah ditugaskan oleh kepimpinan parti
- Dia mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan menjadi calon
- Mohd Naim merasa momen ini akan lebih bermakna sekiranya disaksikan oleh bapanya yang telah meninggal dunia
- Bung Moktar meninggal pada 5 Disember dari komplikasi buah pinggang dan paru-paru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
