Dapat ambulans baharu selepas hampir 35 tahun


TANJUNG MALIM - Selepas hampir 35 tahun, Klinik Kesihatan Gunung Besout akhirnya menerima sebuah ambulans baharu bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 9,000 penduduk felda.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi, Datuk A Sivanesan berkata, klinik yang mula beroperasi pada 1986 itu sebelum ini hanya menggunakan ambulans lama yang diperoleh sekitar tahun 1990-an dan kini sudah uzur serta tidak lagi sesuai digunakan.
Menurutnya, isu kelewatan pembekalan ambulans berkenaan berpunca daripada masalah perolehan di peringkat kementerian, sebelum akhirnya dapat diselesaikan dengan pembekalan ambulans jenis B
“Ambulans jenis B ini mungkin tidak dilengkapi peralatan canggih seperti jenis A yang digunakan di hospital, namun ia mencukupi dan sesuai untuk kegunaan klinik kesihatan, khususnya bagi kes kecemasan dan pemindahan pesakit," katanya semasa majlis penyerahan ambulans Klinik Kesihatan Gunung Besout di sini baru-baru ini.
Sivanesan berkata, secara purata perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Gunung Besout digunakan sekitar satu kes sehari, melibatkan kira-kira 36 kes sebulan.
Katanya, kebanyakan pesakit dirujuk ke Hospital Slim River selain Ipoh dan Teluk Intan bagi kes tertentu.
"Felda Besout merupakan kawasan pedalaman dan kita tidak boleh menafikan keperluan mendesak penduduk di sini terhadap perkhidmatan ambulans yang cekap dan selamat," katanya.
Beliau berkata, pembekalan ambulans sama turut dilakukan di 16 klinik kesihatan lain seluruh negeri iaitu Tanjung Malim; Gunung Rapat; Batu 17; Kota Bharu; Menglembu; Lawin; Lenggong; Kuala Gula; Teluk Medan; Tanjung Piandang; Trong; Buntong; Hutan Melintang; Sungai Siput; Ayer Tawar dan Parit.
"Semua ambulans ini telah diterima dalam tempoh dua minggu lalu. Ada klinik yang menerimanya lebih awal, ada yang baru menerima beberapa hari lalu, namun kesemuanya kini sudah mempunyai ambulans baharu," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan melalui Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) turut meluluskan beberapa projek pembinaan dan naik taraf fasiliti kesihatan di Perak, termasuk pembinaan Klinik Kesihatan jenis 2 di Tanjung Malim bernilai RM84.85 juta.
Selain itu, sebuah lagi Klinik Kesihatan jenis 2 di Tanjung Rambutan bernilai RM59.23 juta turut diluluskan selain pembinaan Klinik Kesihatan jenis 3 di Bagan Serai melibatkan peruntukan awal RM8.1 juta bagi kerja-kerja tanah fasa pertama.
"Kerajaan juga meluluskan perolehan klinik pergigian bergerak Hilir Perak dan perolehan kenderaan serta peralatan bagi pasukan pergigian bergerak Perak dengan peruntukan masing-masing RM1.6 juta dan RM900,000," katanya.
Ringkasan AI
- Klinik Kesihatan Gunung Besout yang beroperasi sejak 1986, menerima sebuah ambulans baharu setelah menggunakan ambulans lama sejak 1990-an
- Masalah perolehan ambulans baharu terhambat akibat isu di peringkat kementerian sebelum akhirnya dibekalkan ambulans jenis B
- Ambulans jenis B, walaupun tidak sehebat jenis A, dianggap mencukupi untuk kegunaan klinik kesihatan dalam kes kecemasan dan pemindahan pesakit
- Secara purata, perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Gunung Besout digunakan untuk kira-kira satu kes sehari
- Pembekalan ambulans baharu turut dilakukan di 16 klinik kesihatan lain di seluruh negeri Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

