Dana Tekun, pembiayaan usahawan India dinaikkan

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meningkatkan dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, langkah itu sejajar dengan dasar pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi secara inklusif merentas kaum.
“Pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) turut dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta pada 2026.
“Selain itu, satu skim pembiayaan baharu untuk PMKS masyarakat Cina berjumlah RM50 juta akan dilancarkan pada Januari 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi mendengar taklimat pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sempena hari pertama beliau memulakan tugas menerajui kementerian berkenaan, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Steven berkata, moratorium bayaran balik selama enam bulan tanpa faedah akan diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat banjir, melibatkan pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP.
Agensi terbabit ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Terdahulu, beliau tiba di bangunan KUSKOP kira-kira jam 9.10 pagi dan disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Steven turut memaklumkan bahawa KUSKOP menerima mandat khusus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan PMKS dan gerakan koperasi.
Sehubungan itu, beliau menggariskan strategi tumpuan kementerian berdasarkan kerangka ABCD, iaitu Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudah, Capaian modal dan Daya akses pasaran.
INFO
- Tekun RM500 juta
- SPUMI RM50 juta
- Dana PMKS Cina RM50 juta
Ringkasan AI
- Kerajaan akan meningkatkan dana pembiayaan Bumiputera di bawah TEKUN Nasional kepada RM500 juta pada 2026
- Pembiayaan untuk usahawan India melalui SPUMI dinaikkan kepada RM50 juta pada 2026
- Skim pembiayaan baharu untuk PMKS masyarakat Cina berjumlah RM50 juta akan dilancarkan pada Januari 2026
- Moratorium bayaran balik selama enam bulan tanpa faedah akan diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat banjir
- KUSKOP menerima mandat khusus untuk memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan PMKS dan gerakan koperasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
