Lantikan Hannah Yeoh tidak jejas agenda Melayu di Wilayah Persekutuan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalannya tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik Hannah dan Su Fui menerajui portfolio itu.
"Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.
"Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, walaupun Hannah merupakan wakil DAP, prestasi beliau semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pelantikan Hannah, dan Su Fui yang mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga katanya, mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Ahmad Zahid turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri termasuk beliau sendiri, akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan bahawa agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.
Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Lo yang merupakan muka baharu dilantik sebagai timbalannya. - Bernama
Ringkasan AI
- Pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan
- Ahmad Zahid menyatakan Perdana Menteri membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang memastikan kepentingan semua pihak terjaga
- Prestasi Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan menunjukkan tiada agenda perkauman
- Pelantikan berdasarkan pertimbangan kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya
- Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan memantau untuk memastikan agenda nasional sentiasa diberi keutamaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
