APMM aktifkan SAR cari enam nelayan hilang di laut

Bot dinaiki enam nelayan yang dilaporkan tidak pulang selepas lapan hari turun ke laut.- Foto: Ihsan APMM Terengganu
Bot dinaiki enam nelayan yang dilaporkan tidak pulang selepas lapan hari turun ke laut.- Foto: Ihsan APMM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam nelayan yang tidak pulang dan gagal dikesan selepas lapan hari keluar ke laut.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mangsa yang hilang ialah Mohd Yusof Awang, 45; Abdul Gani Sulong, 60; Awang Salleh, 40; Anuar Shafie, 30, dan dua awak-awak warga Thailand.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, kesemua nelayan tersebut keluar ke laut pada 20 Mac lalu dan kali terakhir mereka dihubungi melalui radio pada Rabu lalu memaklumkan berada di perairan Pahang.

"Melalui panduan maklumat terakhir itu, kami melakukan operasi SAR yang turut merangkumi perairan Terengganu dan Pahang melibatkan sebuah kapal dan dua bot APMM.

"Turut sama dalam usaha pencarian ini adalah aset daripada Polis Marin dan nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Muhammad Suffi juga tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki kesemua mangsa mengalami kerosakan dan dihanyutkan sehingga ke perairan Pahang.

Susulan itu, APMM menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan: