Editor Astro Awani maut, motosikal terbabas

Mohd Kusairi mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.
Mohd Kusairi mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.
A
A
A

PETALING JAYA - Penyunting video Astro Awani meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dipercayai terbabas dalam kemalangan di Kilometer 457.1 Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 10.49 malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.05 malam, mangsa, Mohd Kusairi Ishak, 52, menunggang motosikal jenis Ducati dari Tapah, Perak untuk pulang ke rumahnya di Bangsar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dan mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat hari ini," katanya.

Beliau berkata, motosikal terbabit mengalami pelbagai kerosakan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi menjalani ujian kimia serta pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hisham Azih ditalian 0177378704," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Astro Awani memaklumkan Allahyarham yang juga bapa kepada dua orang anak itu seorang profesional, berdedikasi, malah dikenali sebagai individu yang sentiasa ceria, lucu, dan penuh idea kreatif di pejabat.

Mohd Kusairi merupakan antara tenaga kreatif yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan video berita dan kandungan media sosial Astro Awani.

Ringkasan AI

  • Penyunting video Astro Awani meninggal dunia akibat kemalangan motosikal di NKVE Petaling Jaya
  • Kemalangan terjadi kira-kira pukul 10.05 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Bangsar dari Tapah
  • Mohd Kusairi Ishak hilang kawalan motosikal sebelum melanggar penghadang jalan
  • Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal di tempat kejadian
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis mencari saksi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!