JDT hilang 'fear factor' tanpa Arif Aiman - TMJ

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mengakui ketiadaan tonggak sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi yang kini diketepikan akibat kecederaan ternyata memberi impak besar terhadap ketajaman jentera serangan skuad Harimau Selatan.
Menurut baginda, ketiadaan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu menyebabkan pasukan kehilangan elemen 'fear factor' atau rasa gerun pihak lawan yang selama ini menjadi senjata utama pasukan.
“Kita boleh lihat apabila dia tiada, bagaimana keadaan pasukan sekarang? Kita tidak lagi sebahaya berbanding ketika dia ada.
“Semasa dia ada, dia memberi 'fear factor' kepada pihak lawan. Kehadirannya menjadikan kita lebih berbahaya dari segi serangan,” titah baginda.
Bagaimanapun, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor menaruh keyakinan tinggi bahawa pemain berusia 23 tahun itu akan kembali dengan prestasi lebih ampuh selepas pulih sepenuhnya nanti.
Demi memastikan proses pemulihan terbaik, baginda mendedahkan bahawa kelab telah menyediakan rawatan pakar kelas dunia buat Arif Aiman, termasuk mendapatkan khidmat pakar bedah sukan terkemuka, Dr Lempainen Lasse.
“Dia pergi berjumpa doktor yang sama melakukan pembedahan untuk Ousmane Dembele daripada kelab Paris Saint-Germain (PSG).
“Jadi kita berikan apa sahaja yang terbaik dan diperlukan untuk dia kembali kepada prestasi asalnya. Namun, kita tidak akan tergesa-gesa memaksanya kembali beraksi,” titah baginda.
Arif Aiman dijangka perlu berehat selama tiga bulan susulan kecederaan hamstring yang dialaminya.
Terdahulu, bintang muda negara itu mengalami kecederaan tersebut ketika aksi menentang Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 18 November lalu.
Dalam aksi Kumpulan F itu, dia hanya sempat beraksi kira-kira lapan minit sebelum terpaksa dikeluarkan dan digantikan oleh Faisal Halim yang kemudiannya menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Ringkasan AI
- Pemilik Johor Darul Ta'zim, Tunku Mahkota Ismail mengakui ketiadaan Arif Aiman Hanapi memberi impak besar kepada serangan pasukan
- Ketiadaan Arif Aiman menyebabkan pasukan kehilangan 'fear factor' terhadap lawan
- Tunku Mahkota Ismail yakin Arif Aiman akan kembali dengan prestasi lebih baik selepas pulih dari kecederaan
- Kelab menyediakan rawatan pakar kelas dunia untuk Arif Aiman, termasuk khidmat pakar bedah sukan Dr Lempainen Lasse
- Arif Aiman dijangka perlu berehat selama tiga bulan susulan kecederaan hamstring
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
