Johor cuti 15 Disember ini jika JDT julang Piala FA

JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa sekiranya Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA pada 14 Disember ini.
Baginda bertitah cadangan cuti khas peristiwa pada 15 Disember tersebut adalah bagi meraikan kejayaan pasukan itu yang berpeluang mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.
Tunku Ismail bertitah sedemikian ketika menjawab soalan mengenai cuti perisitiwa dalam satu program santai Pemangku Sultan Johor bersama penyokong JDT, yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers pada Rabu.
"Itu sudah tentu, memang cuti...tetapi kalau menang, kalau kalah jangan cuti," seloroh baginda dan disambut gelak tawa oleh orang ramai.
Skuad Harimau Selatan akan menentang Sabah FC yang mencipta sejarah layak ke final Piala FA buat kali pertama dengan mengatasi Selangor FC 5-4 menerusi penentuan penalti, selepas terikat 5-5 secara agregat pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 30 November lepas. - Bernama
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa jika JDT menang Piala FA pada 14 Disember
- Baginda bertitah cadangan cuti pada 15 Dis adalah untuk meraikan kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan buat kali keempat
- Tunku Ismail menyatakan itu ketika program santai bersama penyokong JDT
- Baginda berseloroh hanya cuti jika menang, jika kalah tidak cuti
- JDT akan menentang Sabah FC di final Piala FA setelah Sabah mengalahkan Selangor FC di separuh akhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
