[VIDEO] Peguam yakin mampu pertahan pembebasan Syed Saddiq
PUTRAJAYA – Peguam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin hujahan yang dikemukakan kukuh untuk menangkis rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam utama, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, semua isu yang dibangkitkan pendakwaan telah dijawab secara jelas dalam prosiding pendengaran rayuan bagi mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq.

"Kami telah mengemukakan hujahan yang kuat dan kukuh terhadap setiap perkara yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.
"Insya-ALLAH, kami berharap rayuan itu akan ditolak.Itu sahaja yang boleh saya katakan, ya tidak ada apa-apa lagi," katanya ketika ditemui media di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini pada Khamis.
Mengulas jangkaan untuk menyelesaikan hujahan balas dalam tempoh ditetapkan, Hisyam berkata, pasukan pembelaan berada di landasan tepat.
"Insya-ALLAH, saya fikir kami boleh menyiapkan hujahan balas menjelang esok,” katanya.
Beliau menjelaskan, hujahan yang dibawa pendakwaan pada Khamis adalah pengulangan apa yang pernah dikemukakan di Mahkamah Rayuan sebelum ini.
"Berkenaan hujahan sebentar tadi, ia sebenarnya hujahan sama yang pernah mereka kemukakan di Mahkamah Rayuan dan telah pun dijawab oleh Hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini.
"Kami juga telah menyediakan jawapan terhadap hujahan mereka,” katanya.
Menurutnya, panel hakim Persekutuan turut meminta sesi penghujahan dijalankan secara padat memandangkan sebahagian besar isu sudah dihuraikan dalam hujahan bertulis.
"Saya rasa hakim mahu ia ringkas dan padat dan kebanyakan perkara yang dibentangkan tadi pun datang daripada hujahan bertulis.
"Jadi esok kami juga akan kekalkan hujahan kami secara terus kepada isu, jelas dan ringkas,” katanya.
Prosiding berkenaan adalah berkaitan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq atas empat kes menyeleweng dana Armada.
Ringkasan AI
- Peguam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin hujahan kukuh telah dikemukakan untuk menangkis rayuan pendakwaan
- Pasukan pembelaan berada di landasan tepat untuk menyelesaikan hujahan balas
- Hujahan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan adalah pengulangan dari Mahkamah Rayuan
- Hakim mahu sesi penghujahan berlangsung secara padat dan ringkas
- Rayuan berkaitan dengan usaha pendakwaan mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq dari empat pertuduhan melibatkan dana Armada
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
