Empat tekong darat didakwa seludup PATI Myanmar

A
A
A

KOTA BHARU - Empat tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyeludup lapan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai dan sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 41, Nor Hizam Mohd Nor, 45 dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Bagimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh, hal ini kerana kes melibatkan penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf Saifullah dan Miqdad Elya didakwa melakukan penyeludupan migran dua lelaki warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai, Jalan Utama Kota Bharu-Gua Musang dekat sini kira-kira jam 4.45 petang pada 14 November lalu.

Nor Hizam dan Mohamad Faizul pula dituduh melakukan penyeludupan migran enam lelaki warga Myanmar di sebuah rumah teres di Taman Redha, Pulai Chondong dekat Machang kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 15 November lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli.

Raja Yusuf Saifullah diwakili peguam Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal sementara tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan kerana kes tersebut merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Aridz dalam rayuannya memohon satu jaminan diberikan kepada Raja Yusuf Saifullah dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes tersebut perlu dimohon di Mahkamah Tinggi selain menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

Ringkasan AI

  • Empat tekong darat didakwa menyeludup lapan PATI warga Myanmar di Kelantan
  • Keempat-empat tidak mengaku bersalah kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
  • Dua daripada mereka didakwa di pasar raya Kuala Krai, dua lagi di rumah teres Pulai Chondong
  • Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya
  • Tidak dibenarkan jaminan, mahkamah tetapkan 21 Januari untuk sebutan semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!