Gaji tertunggak pemain P Pinang hampri selesai

FAP
FAP
A
A
A

KEMELUT yang melanda Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang membabitkan gaji tertunggak pemain dan pegawainya kini telah selesai sebanyak 80 peratus, kata Presidennya, Dr Amar Pritpal Abdullah.

Beliau juga menyifatkan kerajaan negeri begitu komited dalam usaha menyelesaikan isu tersebut sekali gus berharap kegemilangan pasukan Harimau Kumbang itu kembali menyerlah untuk musim ini.

"Untuk bulan Disember 2018, hasil bantuan kerajaan negeri, sebanyak 80 peratus tunggakan gaji untuk pemain dan pegawai-pegawai telah berjaya diselesaikan yang meliputi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belia," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Persahabatan Pra-Musim Pulau Pinang menentang Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), di Stadium Negeri Pulau Pinang Batu Kawan, di sini, malam tadi.

Katanya, baki tunggakan sebanyak 20 peratus lagi adalah bagi tahun 2017 dan akan diselesaikan secepat yang mungkin.

"Untuk gaji tahun 2017 pula adalah mereka yang tiada dalam senarai FAP, namun, kami akan cuba hubungi mereka dan pada masa yang sama Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) turut mahu FAP memanggil mereka jika boleh untuk mengadakan rundingan ekoran prestasi menurun daripada Liga Super kepada Liga FAM.

“Kita pun faham akan situasi yang dihadapi oleh pemain yang mempunyai banyak komitmen yang mana kita nak selesaikan tunggakan itu secepat yang mungkin," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Amar amat optimis akan pasukan kendalian Ahmad Yusoff yang terdiri daripada 80 peratus muka baharu untuk menduduki senarai pasukan kelima teratas dalam Liga Premier musim ini bagi tahun pertama.

Terdahulu, pasukan Pulau Pinang telah berjaya menjaringkan dua gol menerusi sepakan Kang Seung Jo dan Julian Bottaro masing-masing pada minit ke-50 dan ke-80, manakala MIFA hanya berjaya meraih satu gol atas kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Syamim Othman pada minit ke-90.

Artikel Berkaitan:

"Dengan prestasi yang ditunjukkan malam ini, kita harap kombinasi antara pemain itu (akan) dapat ditingkatkan kerana mereka terdiri daripada pemain yang baharu di samping telah banyak membuat persiapan dalam masa dua bulan ini.

“Kita turut berharap prestasi yang ditunjukkan ini akan berterusan seterusnya memberi kesan yang baik untuk FAP di samping dapat menarik lebih ramai penyokong Pulau Pinang supaya kembali semula ke stadium (untuk memberi sokongan)," katanya.

Menurut Dr Amar lagi, pasukan Pulau Pinang kini lebih menumpukan kepada kedua-dua pemain sayap kiri yang baharu di samping turut memberi tumpuan kepada seorang lagi penyerang yang bakal diumumkan kelak.

"Line up player (barisan pemain) memang ada tertumpu di sayap kiri pada kedua-dua pemain baharu (warga tempatan Pulau Pinang) dan juga banyak posisi yang dibawa...dan ketika ini kita kekurangan satu lagi penyerang.

“Namun, setelah melalui beberapa proses, FAP telah menjumpai penyerang ini yang merupakan anak jati Pulau Pinang (sudah pun disenarai pendek) dan akan diumumkan dalam masa seminggu akan datang," katanya. - Bernama